EKONOMI

Komitmen Kredit Tinggi Tekankan Keperluan Kesedaran Kewangan Lebih Kukuh

27/05/2026 09:51 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Komitmen kewangan berkaitan dengan kad kredit, kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan pembiayaan peribadi kini menjadi kelaziman dalam kalangan peminjam berpendapatan sederhana, menekankan keperluan terhadap tahap celik kewangan yang lebih kukuh dan amalan pinjaman yang bertanggungjawab, menurut firma perunding kewangan Bluebricks Holding Sdn Bhd. 

Pemerhatian daripada kes-kes penstrukturan semula hutang dan perundingan pembiayaan menunjukkan bahawa tekanan kewangan tidak lagi tertumpu dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, sebaliknya semakin menjejaskan golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Pengarah Urusan Karl Ng berkata ramai peminjam yang berpendapatan antara RM5,000 dan RM20,000 sebulan sedang bergelut dengan komitmen pembayaran balik hutang yang tinggi, menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kewangan akibat kejutan tidak dijangka seperti kecemasan perubatan, kehilangan pekerjaan atau kos membaiki kenderaan.

“Apa yang kita lihat tidak semestinya masalah pendapatan, tetapi masalah leveraj. Ramai yang memperoleh pendapatan mencukupi untuk melayakkan mereka mendapat pelbagai kemudahan kredit tetapi mereka tidak mempunyai penampan kewangan yang mencukupi apabila wujud perbelanjaan tidak dijangka.

“Secara ringkasnya, mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk melayakkan diri bagi pelbagai kemudahan kewangan tetapi tidak cukup sebagai penampan bagi menghadapi sebarang kejutan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM1.67 trilion sehingga akhir 2025, menunjukkan skala pinjaman pengguna di negara ini.

Walaupun ini merupakan angka yang tinggi, bank pusat berpendapat sektor isi rumah berdaya tahan dari segi kewangan dan risiko adalah terkawal.

Ng berkata peminjam dalam kumpulan pendapatan RM5,000-RM10,000 dan RM10,000-RM20,000 mencatatkan antara nisbah khidmat hutang tertinggi dalam kes yang dikendalikan oleh firma tersebut.

Berdasarkan pengalaman di lapangan, firma itu menerima 30 hingga 40 pertanyaan berkaitan penyatuan hutang setiap hari, dengan ramai peminjam hanya menyedari betapa cepatnya faedah, pembayaran balik minimum dan penalti boleh terkumpul apabila hutang menjadi sukar diuruskan.

Beliau berkata ramai pelanggan kini mempunyai baki kurang daripada 10 peratus gaji mereka selepas membayar balik hutang walaupun pembayaran dibuat mengikut jadual.

 

Peminjam ‘Pra-Ingkar’ Semakin Ketara Di Sebalik Data Hutang Stabil 

 

Ng berkata petunjuk rasmi seperti nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya apa yang beliau sifatkan sebagai kumpulan ‘pra-ingkar’ yang semakin meningkat, iaitu peminjam secara teknikal masih membuat pembayaran tetapi hanya bertahan melalui pembayaran balik minimum dan pembiayaan semula.

“Secara teknikal, mereka masih membuat pembayaran tetapi tekanan yang dihadapi adalah sangat nyata,” katanya.

Beliau berkata sesetengah peminjam bergantung pada pinjaman keluarga, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembiayaan bukan bank untuk terus bertahan dari segi kewangan manakala beban hutang yang berpanjangan turut menyumbang kepada tekanan dan hubungan keluarga yang tegang.

Antara kesilapan kewangan paling lazim dilakukan ialah pembayaran minimum kad kredit yang berpanjangan, penggunaan BNPL yang berlebihan dan salah faham mengenai kos pinjaman yang berkesan.

Ng berkata ramai pengguna memandang rendah bahawa hutang kecil tanpa cagaran boleh meningkat, terutamanya apabila hanya pembayaran minimum dibuat pada kad kredit.

“Baki kad kredit RM5,000 boleh menjadi hutang yang jauh lebih besar dari semasa ke semasa jika peminjam terus bergantung pada pembayaran minimum dan masih terus berbelanja menggunakan kad tersebut,” katanya.

Kemudahan BNPL, yang dilihat secara meluas oleh pengguna sebagai pilihan pembayaran, mempengaruhi penilaian pemberian pinjaman oleh bank.

Bank menjadi lebih berhati-hati terhadap peminjam yang mempunyai pelbagai komitmen BNPL, walaupun jumlah tertunggak adalah kecil berikutan kemudahan sedemikian boleh menunjukkan pengurusan aliran tunai yang terhad.

Pemerhatian itu dibuat selepas Malaysia mengetatkan pengawasan terhadap industri kredit pengguna berikutan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025.

 

 

Pendidikan Kewangan Lebih Kukuh, Intervensi Awal Diperlukan

 

Ng berkata mengurangkan tekanan hutang isi rumah memerlukan peraturan yang lebih kukuh, campur tangan kewangan yang lebih awal dan perubahan budaya pinjaman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya pembaharuan kawal selia yang diperkenalkan oleh kerajaan, termasuk pengawasan yang lebih ketat terhadap pengendali BNPL telah dilaksanakan tetapi usaha literasi kewangan perlu terus diperluaskan terutamanya untuk peminjam kali pertama dan golongan dewasa muda yang baru bekerja.

Beliau mencadangkan, antara lain, modul literasi kewangan ringkas diwajibkan kepada pengguna yang memohon kad kredit, pinjaman peribadi dan kemudahan BNPL.

“Ia adalah langkah yang baik jika terdapat dorongan terhadap dasar untuk melaksanakan modul selama tiga hingga lima minit bagi setiap pendaftaran kad kredit dan setiap permohonan pinjaman yang dibuat.

“Saya percaya ujian ini penting sebelum pinjaman diluluskan untuk memastikan peminjam memahami sepenuhnya kadar faedah efektif, obligasi pembayaran balik, penalti dan risiko hutang jangka panjang sebelum mengambil komitmen pembiayaan,” katanya.

Ng berkata modul tersebut boleh dijalankan secara digital dan disepadukan dalam proses permohonan pinjaman.

“Kami percaya pendidikan perlu diutamakan manakala peraturan menjadi mekanisme sandaran.

“Apabila pengguna benar-benar memahami cara hutang berfungsi, mereka akan membuat keputusan pinjaman yang lebih baik,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menggalakkan rakyat Malaysia untuk membina simpanan kecemasan dan menyimpan dana lebih awal daripada terlalu bergantung pada kemudahan kredit semasa berlaku kejutan kewangan.

Beliau turut menggesa perbincangan awam yang lebih meluas mengenai isu berkaitan hutang bagi mengurangkan stigma berhubung masalah kewangan dan menggalakkan peminjam mendapatkan bantuan lebih awal sebelum hutang menjadi tidak terurus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan