GEORGE TOWN, 26 Mei (Bernama) -- Pelancaran platform baharu E-Penang Dangerous Cargo and Free Zone (e-PDCFZ) oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) menandakan satu pencapaian penting dalam usaha suruhanjaya itu ke arah tadbir urus pelabuhan yang lebih pintar dan telus.
Pengerusi PPC Datuk Yeoh Soon Hin berkata platform digital itu memperkukuh tadbir urus pelabuhan melalui aliran kerja digital yang bersepadu, pemantauan masa nyata dan kebolehlihatan audit yang dipertingkat, di samping meletakkan asas bagi operasi pelabuhan yang bersedia untuk masa hadapan.
“Platform e-PDCFZ telah memulakan operasi secara rasmi pada 1 Mei, 2026. Ia menawarkan tiga manfaat teras, iaitu kecekapan operasi yang dipertingkat, ketelusan yang lebih tinggi dan piawaian pematuhan yang lebih ketat melalui mekanisme kawal selia digital yang berstruktur.
“Keupayaan platform ini amat kritikal dalam menangani penyusunan semula rantaian bekalan global, peningkatan kerumitan dalam persekitaran perkapalan dan jangkaan kemampanan yang semakin meningkat,” kata beliau dalam satu kenyataan sempena 'Dialogue on Jointly Exploring Port AI and Digital Transformation’.
Dialog berkenaan diadakan baru-baru ini di Nanning, China dan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Yeoh berkata platform digital itu mencerminkan komitmen PPC untuk mempercepat pendigitalan di pelabuhan dan memperkukuh tadbir urus operasi selaras dengan visi Loke.
Beliau menegaskan persaingan dalam ekonomi maritim dan pelabuhan di masa hadapan tidak lagi bergantung semata-mata kepada infrastruktur fizikal, sebaliknya semakin bergantung kepada kecerdasan digital, keupayaan tadbir urus dan kerjasama serantau.
Transformasi digital perlu diterapkan di sepanjang keseluruhan rantaian nilai operasi pelabuhan dan disepadukan secara erat dengan sistem kawal selia serta tadbir urus bagi menghasilkan peningkatan yang bermakna dari segi kecekapan, ketelusan dan pematuhan, katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata PPC kekal komited untuk memajukan tadbir urus pintar dan transformasi digital, di samping berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik dari China bagi sama-sama membina ekosistem maritim serantau yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Yeoh menegaskan kerjasama Malaysia-China dalam sektor pelabuhan dan maritim menghasilkan kepentingan strategik yang besar, memandangkan daya saing maritim masa hadapan akan banyak bergantung kepada saling kebolehoperasian secara digital, ekosistem logistik pintar, keupayaan tadbir urus pintar dan kerjasama rentas sempadan yang lebih mendalam.
“PPC akan terus memperkukuh sistem tadbir urus pintar, integriti operasi dan pertumbuhan maritim yang mampan, di samping memperdalam perkongsian strategik antara Malaysia dan China dalam membentuk ketersambungan maritim pintar di masa depan untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial