EKONOMI

CHINT Global Malaysia Percepat Matlamat Pendigitalan, Tenaga Hijau

26/05/2026 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- CHINT Global (Malaysia) Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Alpha Automation (Selangor) Sdn Bhd, berada pada kedudukan baik untuk mempercepat matlamat pendigitalan dan tenaga hijau Malaysia di samping mengembangkan operasinya ke seluruh Asia Tenggara.

Menurut penyedia peralatan elektrik pintar dan sistem tenaga itu, pihaknya akan memanfaatkan pengalaman selama 30 tahun dalam pasaran tempatan serta keupayaan teknologi global sepanjang tempoh peralihan itu.

CHINT Global, disokong oleh rangkaian pengedar di seluruh negara serta sokongan strategik daripada ibu pejabat Asia-Pasifik CHINT di Singapura, akan terus menawarkan portfolio menyeluruh yang meliputi sistem voltan rendah, penghantaran dan pengedaran kuasa, suis gear, teknologi pemeteran, penyelesaian tenaga boleh baharu dan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik.

Penyelesaian yang ditawarkan itu menyokong sektor utama termasuk pembuatan, bangunan komersial, infrastruktur, pengangkutan rel, projek solar dan pusat data.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tey Siang Leng berkata syarikat itu berkembang daripada penyedia penyelesaian tempatan sehingga menjadi sebahagian daripada rangkaian tenaga global yang menyokong peralihan Malaysia ke arah infrastruktur pintar dan lebih mampan.

“Perjalanan selama 30 tahun ini mencerminkan lebih daripada sekadar pertumbuhan perniagaan kerana usaha ini melambangkan kepercayaan dan hubungan yang telah kami bina bersama-sama rakan niaga di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Operasi, Jason Su berkata syarikat sedang memperkukuh keupayaan untuk menyediakan penyelesaian elektrik bersepadu dan sedia masa depan dengan menggabungkan keupayaan pembuatan global CHINT, kekuatan rantaian bekalan serantau serta lebih memahami pasaran Malaysia.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan langkah Malaysia yang sedang memasuki fasa baharu pertumbuhan industri dan transformasi tenaga yang dipacu oleh sektor seperti pusat data, tenaga boleh baharu, pembuatan termaju dan pembangunan infrastruktur.

“Peralihan kepada CHINT Global mencerminkan penyelarasan yang lebih teratur dengan strategi global CHINT di samping mengukuhkan komitmen jangka masa panjang kami terhadap pasaran Malaysia.

“Pada masa akan datang, kami akan terus meningkatkan operasi tempatan, keupayaan teknikal dan rangkaian sokongan pelanggan serta memanfaatkan sumber global Chint bagi menyokong pembangunan industri, pendigitalan dan peralihan tenaga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 dan hala tuju strategik baharu selepas penjenamaan semula, syarikat itu melancarkan kempen ganjaran “Power Up” selama setahun bagi mengukuhkan kerjasama dengan rakan niaga dan memperluas ekosistem CHINT di Malaysia.

Kempen tersebut dimulakan dengan Program Ganjaran “Power Builder” yang berlangsung sehingga 31 Julai, 2026.

Program yang dirangka khusus untuk pembina papan suis dan panel itu merupakan yang pertama dalam siri kerjsama khusus bersama-sama kontraktor dan pengedar.

CHINT Global ditubuhkan pada 1996 sebagi penyedia penyelesaian elektrik voltan rendah dan kini berkembang menjadi rakan dipercayai dalam ekosistem tenaga Malaysia.

Pertumbuhannya dibina berasaskan kerjasama yang sekian lama dengan kontraktor elektrik, pembuat papan suis, pengedar, perunding, pemaju dan pelanggan industri di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan