IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat menjalankan operasi menyelamat dua pendaki melibatkan seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas dan seorang wanita yang cedera di kaki dipercayai hilang selepas menjalankan aktiviti pendakian di Puncak Gunung Batu Putih, di sini.
Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah manakala Jaslinda Saludin, 49, masih tidak dapat dikesan selepas cedera di bahagian kaki semasa mendaki gunung itu kira-kira 10 malam pada Sabtu lepas.
“Pada 4 pagi tadi, pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) bersama Pegawai Perhutanan Perak sebanyak tujuh orang mendaki Gunung Batu Putih ke lokasi mangsa, yang dianggarkan 10 jam perjalanan.
“Selain itu, pesawat JBPM akan membawa 12 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak ke Puncak Gunung Batu Putih dengan lokasi pengambilan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, sebelum anggota penyelamat diturunkan dari pesawat dan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan kira-kira satu jam 30 minit perjalanan berjalan kaki,” katanya.
Beliau berkata lokasi wanita itu pula masih tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang komunikasi daripada MGP sejak 5.45 petang semalam.
Sayani berkata setakat ini operasi sedang dijalankan dan sebarang maklumat operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, seramai 14 peserta bersama dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Pada 10 malam hari sama, seorang pendaki lelaki dilaporkan mengalami masalah pernafasan dan berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang MGP serta mangsa wanita, manakala 12 peserta lain meneruskan perjalanan ke Puncak Batu Putih sebelum selamat keluar ke Tapah pada 1 tengah hari semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial