AM

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda Miliki 10 Tahun Pengalaman Mendaki - Suami

25/05/2026 08:05 PM

TAPAH, 25 Mei (Bernama) -- Wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini, Jaslinda Saludin, 49, merupakan seorang pendaki yang cukup berpengalaman.

Suami mangsa Haszman Othman, 61, berkata Jaslinda sememangnya meminati aktiviti mencabar dan berpengalaman tidak kurang daripada 10 tahun dalam mendaki gunung.

“Kalau mengikut rekod Jabatan Perhutanan, isteri saya akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh hari ini.

Haszman berkata isterinya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta telah bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor pada Jumaat lepas bagi menyertai pendakian berkenaan bersama-sama dua rakannya.  

“Dua rakan isteri telah selamat turun dan pulang ke rumah masing-masing. Saya sekarang tengah bimbang sebab isteri masih belum dijumpai dan operasi mencarinya masih giat dijalankan," katanya.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Beliau dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi semalam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan