AM

Anugerah Seri Angkasa 2026 Kembali Pertandingkan Kategori Pengulas Radio Terbaik

25/05/2026 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 akan mengembalikan kategori Pengulas Radio Terbaik selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2022 susulan permintaan pihak penyiar dan penelitian semula panel jawatankuasa. 

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata selain itu, beberapa perubahan turut dilaksanakan termasuk bagi media baharu dengan kategori Drama Bersiri Terbaik dimansuhkan dan digabungkan menjadi satu kategori yang ditambah baik, iaitu Drama/Drama Bersiri/Drama Mikro Terbaik.

“Kategori Kandungan Video Terbaik pula telah dijenamakan semula kepada Video Pendek Terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pencalonan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 Edisi ke-37 di sini, hari ini.

Beliau berkata proses pencalonan ASA 2026 akan dibuka mulai 4 Jun hingga 22 Jun ini dan mempertandingkan 60 kategori merangkumi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu, selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.

Teo berkata semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen dengan karya berkenaan mesti disiarkan buat kali pertama di stesen penyiaran atau platform media baharu bagi tempoh antara 1 Jan 2024 hingga 31 Dis tahun lepas. 

“Pencalonan perlu dikemukakan oleh wakil pihak penyiaran melalui Sistem Pencalonan Anugerah Seri Angkasa yang akan dibuka pada 4 Jun 2026. Saya menyeru semua stesen penyiaran memastikan pencalonan dihantar agar pengiktirafan yang sewajarnya dapat diberikan kepada mereka yang layak.

“Saya amat berharap penganjuran ASA pada tahun ini dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada semua penggiat industri untuk terus berkarya dan menghasilkan kandungan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Bagi memastikan proses pencalonan berjalan lancar, Teo berkata Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan mengemukakan pencalonan melalui sistem ASA 2026 di Makmal Komputer A, Aras 19, Menara Komunikasi sepanjang tempoh pencalonan.

Stesen penyiaran kerajaan dan swasta turut dipelawa untuk mengemukakan pencalonan secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.

Teo berkata ASA tahun ini tampil dengan tema “Segalanya Bermula Di Sini” yang mengetengahkan konsep pementasan muzikal Broadway yang menggambarkan evolusi dunia penyiaran negara bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

Diperkenalkan sejak 1972, katanya, anugerah itu bertujuan menghargai sumbangan dan usaha warga industri termasuk kru penerbitan, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai rancangan serta kru teknikal yang memacu kejayaan industri kreatif negara.

Beliau berkata Malaysia menyasarkan peningkatan sumbangan industri kreatif tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tujuh hingga 10 peratus bagi tahun ini.

“Setakat April 2026, melalui komitmen berterusan Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi di bawahnya, industri kreatif telah mencatat sumbangan sebanyak 6.8 peratus kepada KDNK negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan