KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Syarikat pelaburan impak yang disokong kerajaan, VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH) membuat pelaburan strategik dalam Pacton Technologies Sdn Bhd (Pacton), bagi mempertingkatkan platform pengurusan akuakultur kecerdasan buatan (AI) dan Internet untuk Pelbagai Benda (IoT), FishSpeak.
Pacton ialah syarikat teknologi Malaysia yang mengkhusus dalam AI dan IoT.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata pelaburan itu akan menyokong fasa pertumbuhan baharu Pacton, termasuk meningkatkan keupayaan AI, penskalaan penggunaan komersial dan pengembangan ke pasaran utama ASEAN seperti Indonesia, Vietnam, Brunei dan Filipina.
Platform FishSpeak menggabungkan model visi komputer proprietari, nasihat AI, dan penyepaduan IoT terpilih untuk menyampaikan kecerdasan akuakultur masa nyata untuk ladang ikan serta udang.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Azizan Jaafar berkata pelaburan itu mencerminkan tumpuan berterusan syarikat tersebut bagi memajukan syarikat inovatif yang diterajui Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), yang menyumbang kepada pengukuhan daya tahan ekonomi serta keupayaan negara Malaysia.
“Penyelesaian berasaskan AI Pacton mengatasi cabaran kritikal dalam akuakultur, terutamanya berkaitan produktiviti, kecekapan operasi dan kemampanan jangka panjang dalam industri.
“Selain potensi komersialnya, FishSpeak juga menyokong keutamaan negara yang lebih meluas dalam keselamatan makanan dan inovasi teknologi pertanian, menerusi penerapan teknologi termaju,” katanya.
Memandangkan industri akuakultur terus berkembang, Azizan berkata penyelesaian berasaskan teknologi seperti FishSpeak akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing industri, mengukuhkan hasil petani dan mempercepatkan penerimaan digital merentasi ekosistem.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Pacton Faisal Shadli berkata penternak akuakultur berdepan cabaran operasi sebenar, iaitu daripada peningkatan kos makanan dan wabak penyakit kepada akses terhad kepada data ladang yang boleh dipercayai.
“FishSpeak dibangunkan bertujuan menjadikan AI termaju boleh diakses di peringkat ladang, menggunakan visi komputer dan peralatan biasa seperti WhatsApp untuk membantu pengendali membuat keputusan dengan lebih pantas, lebih baik dan lebih berasaskan data.
“Pelaburan ini akan mempercepatkan misi kami untuk meningkatkan produktiviti, kemampanan dan keuntungan bagi pengusaha akuakultur di seluruh ASEAN,” tambahnya.
Menurut syarikat itu, akuakultur terus berhadapan cabaran yang berpanjangan seperti kelewatan mengesan penyakit, pembaziran makanan dan penggunaan digital yang terhad, yang semuanya menjejaskan produktiviti serta kemampanan operasi.
Oleh itu, menerusi pendekatan dipacu AI, FishSpeak telah menunjukkan penambahbaikan operasi yang boleh diukur merentasi penggunaan rintis, termasuk kecekapan makanan yang lebih kukuh, keterlihatan ladang yang lebih baik, dan keupayaan mengesan risiko dengan lebih awal.
FishSpeak juga mendapat sambutan awal berikutan penyertaannya dalam Program Teknologi Pertanian Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, dengan pelaksanaan di lebih 50 tapak akuakultur di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, platform tersebut juga memajukan inisiatif pengembangan serantau, termasuk peluang penglibatan komersial di Indonesia, apabila pengusaha akuakultur sedang mencari jalan penyelesaian digital yang boleh diskalakan untuk meningkatkan produktiviti, pengurusan penyakit dan kecekapan operasi peringkat ladang.
Pelaburan itu akan mengukuhkan lagi peranan VentureTECH dalam memupuk syarikat dipacu teknologi yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi, termasuk meningkatkan pendapatan petani, membolehkan penerimaan digital dalam kalangan pekebun kecil dan menyokong sistem pengeluaran makanan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), terutamanya dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri HGHV menerusi teknologi, inovasi dan pembangunan ekonomi yang mampan,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial