AM

Raja Permaisuri Agong Berkenan Berangkat Ke Istana Dolmabahce Di Turkiye

25/05/2026 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mengunjungi Muzium Istana Dolmabahce di Istanbul, Turkiye semalam.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Ketua Protokol muzium Tangűl Erol, sekali gus menjadi saksi lembaran sejarah penting Turkiye.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda pada lawatan itu ialah Pengarah Sekolah Siswazah dan profesor Jabatan Sejarah di Fakulti Kesenian Universiti Istanbul Medeniyet Profesor Dr Ismail Hakki Kadi serta penyelidik bebas yang pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Institut Pengajian Islam Universiti Istanbul Dr Yakoob Ahmed.

Menurut catatan itu, Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam mengunjungi ruang utama di dalam istana tersebut, yang menyaksikan kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan merupakan tempat Mustafa Kemal Ataturk iaitu pengasas Republik Turkiye menghembuskan nafas terakhir pada 1938.

Pada kunjungan itu juga, Raja Permaisuri Agong berpeluang mengimbau kembali lawatan ke Istana Dolmabahce bersama paduka kekanda dan adinda sewaktu zaman muda pada tahun 70-an dan bergambar kenangan di lokasi yang sama dalam pekarangan istana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan