KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden melibatkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah semasa kerja penyelenggaraan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.
“Petronas merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ialah untuk menyokong kesejahteraan mereka yang terkesan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.
Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial