DUNIA

Trump Sifatkan Rundingan Iran ‘Membina’, Sekatan Kekal Hingga Perjanjian Muktamad Dicapai

25/05/2026 08:11 AM

ISTANBUL, 25 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menyifatkan rundingan dengan Iran sebagai “teratur dan membina”, namun menegaskan sekatan akan terus dikuat kuasa sehingga perjanjian muktamad dicapai, lapor Anadolu Ajansi.

“Sekatan akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani. 

"Kedua-dua pihak perlu mengambil masa secukupnya dan memastikan semuanya dilakukan dengan betul. Tiada ruang untuk sebarang kesilapan!” kata Trump menerusi hantaran di platform media sosial Truth Social.

Beliau turut berkata hubungan AS-Iran kini menjadi “jauh lebih profesional dan produktif”, sambil memberi amaran bahawa Tehran tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.

Trump turut berterima kasih kepada negara-negara Timur Tengah atas “sokongan dan kerjasama” mereka, selain berkata penglibatan itu akan diperkukuh melalui penyertaan lebih meluas dalam Perjanjian Abraham. Beliau turut membayangkan Iran mungkin suatu hari nanti menyertai kerangka berkenaan.

Beliau mengkritik perjanjian nuklear Iran 2015 dengan menyifatkannya sebagai “antara perjanjian terburuk pernah dibuat”, selain sekali lagi menyalahkan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama atas apa yang disifatkannya sebagai perjanjian lemah yang membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear.

Trump berkata rundingan semasa dengan Iran adalah “jauh lebih baik” dan sebahagian daripada pendekatan yang lebih berkesan, sambil menegaskan proses yang sedang berlangsung itu akan menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.

Dalam satu lagi hantaran di Truth Social pada Ahad, Trump menulis bahawa sebarang kemungkinan perjanjian dengan Iran akan bersifat “baik dan wajar”, tidak seperti perjanjian nuklear 2015 yang didakwanya memberi Tehran “sejumlah wang tunai yang besar” serta “laluan jelas dan terbuka ke arah senjata nuklear”.

Beliau berkata rundingan semasa adalah “bertentangan sama sekali” dengan perjanjian terdahulu, namun memaklumkan bahawa perjanjian itu masih belum dirundingkan sepenuhnya.

Trump turut menolak kritikan terhadap rundingan itu dengan berkata pengkritiknya “tidak tahu apa-apa” mengenai proses berkenaan, selain menambah bahawa tidak seperti pentadbiran sebelum ini, beliau tidak “membuat perjanjian buruk”.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan