BUKIT MERTAJAM, 23 Mei Bernama) -- Kampung Kuala Mengkuang di sini berpotensi dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi, gastronomi tradisional dan aktiviti komuniti setempat, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penduduk.
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli berkata kampung itu mempunyai pelbagai tarikan yang boleh diketengahkan termasuk suasana kampung, sungai, mural, makanan tradisional serta aktiviti pertanian dan penternakan penduduk.
"Saya percaya usaha itu dapat direalisasikan menerusi kerjasama pelbagai agensi antaranya MPBPP, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan pihak berkaitan yang lain.
“Saya lihat kampung ini mempunyai keindahan tersendiri selain makanan tradisional dan gastronominya yang sangat menarik, kita mahu buat pengurusan yang baik termasuk laluan pelancongan dan kemudahan berkaitan supaya lebih ramai pengunjung datang ke sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas Program Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib Kuala Mengkuang Eco Ride 2026, di Masjid Ittifaqiyah Kuala Mengkuang, Kubang Semang di sini hari ini, yang turut dihadiri isteri Tun Ramli, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tun Ramli melakukan kayuhan sejauh 14 kilometer di kawasan Kampung Kuala Mengkuang yang disertai peserta serta penduduk kampung, dan mereka turut berhenti di beberapa lokasi tumpuan seperti Arca Kuala Mengkuang untuk simbolik penanaman pokok dan mural jambatan kereta api Kuala Mengkuang.
Khalid berkata Kampung Kuala Mengkuang yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI oleh ICU JPM menerima pelbagai inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan merangkumi projek fizikal dan bukan fizikal untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Katanya, antara kerja fizikal yang disiapkan termasuklah menaik taraf koridor jalan, membina mercu tanda kampung, kerja mendalamkan dan membaiki sungai, pemasangan lampu solar, pembinaan dewan dan tadika serta kerja menaik taraf masjid.
Beliau berkata inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas penduduk, tetapi juga membantu menjana pendapatan komuniti setempat menerusi aktiviti ekonomi seperti penternakan kambing dan tanaman buah-buahan termasuk amra.
"Malah, kampung ini turut melakar sejarah tersendiri apabila penghasilan projek seni mural di jambatan landasan kereta api menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records, kawasan itu menjadi lokasi tumpuan pengunjung bergambar dan aktiviti memancing.
"Kampung Kuala Mengkuang juga diharap dapat menjadi kampung contoh serta antara Kampung Angkat MADANI terbaik di Malaysia pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial