EKONOMI

Hibiscus Petroleum Catat Semula Keuntungan, Umum Dividen 3 Sen

22/05/2026 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Hibiscus Petroleum Bhd kembali meraih keuntungan selepas mencatatkan laba bersih sebanyak RM80.10 juta pada suku kewangan ketiga berakhir 31 Mac 2026 berbanding kerugian bersih RM115.97 juta yang disaksikan pada suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan, bagaimanapun, susut kepada RM517.75 juta daripada RM572.80 juta, kata syarikat pengeluaran minyak dan gas itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Kumpulan itu hari ini mengisytiharkan dividen interim satu peringkat ketiga sebanyak 3.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk sembilan bulan tahun kewangan 2026 kepada 7.0 sen sesaham. Tarikh kelayakan ialah 19 Jun 2026 dan perlu dibayar menjelang 17 Julai 2026.

Selaras dengan harga minyak yang lebih tinggi, kumpulan itu menyasarkan jumlah dividen sebanyak 10.0 sen sesaham untuk tahun kewangan 2026 iaitu peningkatan 1.0 sen daripada tahun kewangan 2025. Sejak dividen pertamanya pada tahun kewangan 2021, kumpulan itu telah menyaksikan peningkatan dalam pembayaran dividen setiap tahun. 

Hibiscus Petroleum berkata prestasi suku ketiga ini disokong oleh harga minyak dan kondensat purata yang direalisasikan pada US$76.7 setong iaitu kenaikan 12 peratus dari suku ke suku.

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026), keuntungan bersih Hibiscus Petroleum menokok kepada RM170.55 juta berbanding RM42.89 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil adalah sebanyak RM1.49 bilion daripada RM1.70 bilion.

"Kumpulan itu menyaksikan harga minyak dan gas direalisasikan lebih tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2026. Pengambilan minyak pada April dan Mei 2026 dijangka mencakupi 65 peratus daripada jumlah minyak yang akan dijual pada suku berkenaan, dengan harga minyak direalisasikan melangkaui US$120 setong," menurut kumpulan itu dalam makluman yang berasingan. 

Volum jualan bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 ialah 2.3 juta tong setara minyak (MMboe) minyak, kondensat dan gas, menjadikan jumlah jualan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 kepada 6.7 MMboe. 

Selain itu, Hibiscus Petroleum kekal di landasan untuk mencapai panduan pengeluaran tahun kewangan 2026 sebanyak 9.0 MMboe hingga 9.4 MMboe. 

Katanya, secara operasi, projek pemampat tekanan rendah Brunei telah dimulakan pada April 2026, memberikan peningkatan pengeluaran bersih melebihi 1.5 ribu tong setara minyak (kboe) sehari pada April dan Mei 2026, mencerminkan lonjakan 30 peratus dalam pengeluaran bersih purata Blok B Maharajalela Jamalulalam Brunei. 

Aktiviti pra-pentauliahan sedang dijalankan di Teal West Development di United Kingdom, dengan penghantaran minyak pertama masih berada di landasan menjelang pertengahan tahun kalendar 2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan