SUKAN

Malaysia Ke Suku Akhir, Menang Bergaya 3-0 Ke Atas Myanmar

21/05/2026 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia muncul juara Kumpulan B acara berpasukan regu Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Kejayaan itu melengkapkan aksi tanpa kalah skuad negara di peringkat kumpulan, selain menebus kekecewaan susulan kekalahan kepada Myanmar dalam acara regu sebelum ini.

Walaupun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal, anak buah Ahmad Jais Baharun tetap turun dengan aksi bertenaga apabila regu pertama yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi mudah mengatasi lawan 15-7, 15-9.

Momentum kemenangan negara diteruskan regu kedua menerusi gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias yang mempamerkan permainan kemas untuk meraih kemenangan 15-11, 15-6.

Regu ketiga negara yang diwakili Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir serta Hafizul Hayazi Adnan turut tidak memberi peluang kepada Myanmar sebelum menang selesa 15-13, 15-5.

Malaysia dijadual berdepan Jepun pada aksi suku akhir esok dalam usaha meneruskan kemaraan memburu gelaran juara.

Sementara itu, killer utama negara, Mohamad Azlan berkata kekecewaan gagal melangkah ke final regu menjadi faktor utama pasukannya bangkit untuk menang bergaya dalam misi melangkah ke suku akhir. 

Katanya beliau bersama rakan sepasukan telah berbincang serta menilai semula kelemahan dalam aksi regu sebelum ini bagi memperkemas permainan pasukan.

"Menang atau kalah, kami harap pasukan ini dapat buat lebih baik. Kita lupakan regu dan fokus untuk beri persembahan terbaik buat pasukan dan negara.

“Kami memang kecewa, tetapi tidak boleh terlalu memikirkan perkara itu kerana perlu fokus kepada permainan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan