KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih MNRB Holdings Bhd melonjak kepada RM545.39 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (TK2026) berbanding RM394.25 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan turut meningkat 11 peratus kepada RM3.97 bilion daripada RM3.58 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh prestasi yang lebih kukuh merentasi segmen perniagaan utama, iaitu takaful am, takaful keluarga dan takaful semula.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penanggung insurans semula itu berkata prestasi tersebut mencerminkan pengembangan perniagaan kumpulan yang berterusan dan kedudukan pasaran yang mampan, disokong oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi selaras dengan pemulihan dalam pasaran modal Malaysia sepanjang tahun tersebut.
“Perniagaan takaful am mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, dengan jumlah pendapatan meningkat sebanyak 31.8 peratus atau RM291.7 juta, kepada RM1.20 bilion daripada RM916.9 juta pada tahun sebelumnya," katanya.
Katanya, pertumbuhan kukuh itu disokong oleh momentum terjamin dalam portfolio motor dan kebakaran, mencerminkan kehadiran pasaran segmen yang berkembang dan permintaan berterusan merentasi rangkaian produk utama.
MNRB berkata perniagaan takaful keluarga juga terus menunjukkan trajektori meningkat, mencatatkan jumlah perolehan sebanyak RM730.3 juta, iaitu meningkat RM137.8 juta atau 23.3 peratus daripada RM592.5 juta.
Ini disebabkan oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada portfolio jangka masa kredit kumpulan dan portfolio kemasukan ke hospital kumpulan, sekali gus mencerminkan permintaan yang mampan untuk produk perlindungan kumpulan utama.
Selain itu, segmen perniagaan takaful semula kumpulan itu merekodkan jumlah pendapatan RM176.5 juta, iaitu peningkatan ketara sebanyak RM51.9 juta atau 41.7 peratus, daripada RM124.6 juta pada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan yang kukuh ini terutamanya didorong oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi, terutamanya daripada portfolio takaful semula keluarga, selaras dengan pengembangan perniagaan segmen yang berterusan,” katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, MNRB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM113.73 juta, iaitu meningkat daripada RM93.44 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM1.10 bilion daripada RM1.02 bilion sebelumnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Presiden Sementara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata kejayaan melepasi ambang keuntungan RM500 juta buat kali pertama mewujudkan garis dasar pendapatan baharu bagi MNRB.
“Pencapaian ini bukan sekadar sebagai hasil sekali sahaja, tetapi hasil usaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan disiplin penajajaminan, mendalami keupayaan pengkhususan dan meningkatkan daya tahan perniagaan teras kami merentasi segmen insurans semula, takaful semula dan takaful.
“Sebagai penanggung insurans semula terbesar di Asia Tenggara mengikut saiz aset, peranan MNRB melangkaui prestasi komersial,” katanya.
Oleh itu, MNRB berkata ia kekal fokus untuk memperkukuh daya tahan dan kualiti pendapatannya menerusi pelaksanaan yang berdisiplin merentasi perniagaan terasnya, sambil mengekalkan tumpuan terhadap pengoptimuman portfolio, penggunaan modal dan peningkatan operasi, serta penajaman fokus strategiknya merentasi operasi insurans semula, takaful semula dan takafulnya.
“MNRB juga berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di peringkat serantau dan antarabangsa dalam ruang insurans semula dan takaful semula melalui pengukuhan keupayaan berterusan, ketersambungan pasaran yang lebih besar serta inisiatif pengembangan terpilih,” tambahnya.
Katanya, berikutan prestasi kukuh kumpulan itu dalam tempoh tiga suku pertama tahun kewangan 2026, ia akan memberi ganjaran awal kepada pemegang saham menerusi dividen interim satu peringkat sebanyak lima sen sesaham biasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial