KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia dilihat mempunyai potensi besar untuk beralih kepada tenaga boleh baharu (RE) menerusi penerokaan tenaga geoterma, susulan penemuan lebih 100 lokasi taburan air panas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Pakar Geologi Profesor Madya Dr Mohd Hariri Arifin berkata dapatan itu hasil kajian beliau yang menunjukkan taburan kawasan air panas yang luas di Malaysia, namun penggunaannya dalam kalangan masyarakat masih terhad kepada sektor pelancongan serta aktiviti rekreasi dan domestik ringan.
“Sayang sekali kerana kebanyakan kawasan hot spring ini terbiar tanpa pengurusan berskala besar. Sebahagiannya pula tidak diurus dengan baik sehingga tercemar dengan sisa buangan seperti kulit telur dan bekas makanan, sedangkan kawasan ini boleh dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
“Jika kita menggunakan kepakaran sains bumi dan geofizik, sumber haba bumi ini berpotensi diterokai untuk memutarkan turbin bagi menjana tenaga elektrik yang lebih bersih dan mampan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Bumi Makin Panas, Dunia Kian Gelisah terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Geologi Malaysia (GSM) berkata beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, SEDA Malaysia serta Suruhanjaya Tenaga kini giat meneliti potensi pembangunan sektor berkenaan.
Bagaimanapun, Pensyarah di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata kekangan utama mempercepat pembangunan industri itu di Malaysia bukan terletak pada teknologi, sebaliknya ketiadaan kerangka dasar atau polisi yang khusus.
“Kita memerlukan satu Dasar Geoterma Negara bagi menarik pelaburan serta memandu kaedah penerokaan yang betul dan lestari. Negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sudah lama memanfaatkan tenaga ini meskipun kita mempunyai sumber alam yang hampir serupa,” katanya.
Beliau berkata UKM kini turut bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi merealisasikan projek Proof of Concept (POC) di Ulu Slim, Perak yang dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi tinggi untuk pembangunan geoterma di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar dan Teknologi UKM Dr Muhammad Taqiuddin Zakaria berkata negara perlu memberikan perhatian kepada potensi sumber lain yang dimiliki bumi termasuk unsur nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE)
“Selain REE, kita juga ada gas hidrogen dan biojisim. Dalam konteks ekonomi sekarang, semua ini sangat penting,” katanya.
Muhammad Taqiuddin berkata taburan REE di Malaysia adalah luas, namun negara masih memerlukan pemetaan lebih terperinci bagi mengenal pasti lokasi sebenar sumber berkenaan.
Beliau berkata teknologi berkaitan REE di negara maju seperti Amerika Syarikat dan China telah berada pada tahap lebih ke hadapan, manakala Malaysia masih berada pada peringkat awal dari segi kajian dan pembangunan daripada fasa huluan sehingga hiliran.
“Malaysia masih dalam peringkat kajian, tetapi kita mempunyai potensi sumber yang besar. Jika dapat dimanfaatkan, REE boleh menjadi antara pemacu ekonomi, khususnya dalam penghasilan bateri dan teknologi kenderaan elektrik (EV),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial