SEREMBAN, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada tahun ini, namun perkara itu masih pada peringkat pertimbangan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata perkara yang turut diteliti ialah kemungkinan mengadakan PRN secara serentak dengan negeri jiran, iaitu Melaka dan Johor.
“Kemungkinan itu ada… dalam parti politik ini, mungkin tahun ini atau tahun depan. Insya-Allah, kita tengok negeri jiran (Melaka dan Johor) bila pilihan raya (dan) mungkin kita sekalikan. Itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Berhubung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, Aminuddin berkata kerajaan negeri sedang meneliti tarikh sesuai memandangkan tempoh semasa DUN hanya berbaki sehingga 24 Okt.
“Jika tidak diadakan (sehingga tarikh itu) DUN akan terbubar dengan sendirinya,” katanya.
Sementara itu, ditanya jika PH Negeri Sembilan akan bergerak solo tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) pada PRN itu, Aminuddin berkata keputusan tersebut tertakluk kepada pimpinan pusat.
Beliau berkata walaupun terdapat pandangan kuat supaya PH negeri bergerak solo, namun landskap politik semasa boleh berubah mengikut keadaan dan hubungan antara parti juga tidak mustahil untuk kembali terjalin pada masa depan.
Pada PRN ke-15, BN memenangi 14 kerusi, PH (17 kerusi) dan Perikatan Nasional (lima kerusi).
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan beliau kini memangku portfolio Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi; Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup; serta Pendidikan susulan kekosongan jawatan Exco melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.
Portfolio Exco Pembangunan Belia dan Sukan pula dipangku Nicole Tan, portfolio Exco Warisan dan Teknologi oleh Datuk Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim manakala Exco Inovasi dan Digital oleh J. Arul Kumar.
Sebelum ini, 14 ADUN BN hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sehingga menyebabkan kekosongan empat jawatan Exco yang disandang parti itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial