AM

Gangguan Air Pusat Jagaan Al-fikrah Selesai, PAAB Peruntuk RM30,000 Baiki Sistem Bekalan

20/05/2026 06:12 PM

KAJANG, 20 Mei (Bernama) -- Seramai 70 warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah di sini, kini boleh menarik nafas lega selepas masalah gangguan bekalan air dan tekanan air rendah diselesaikan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ziarah Kasih Lestari PAAB memperuntukkan RM30,000 bagi memasang tangki air baharu dan menaik taraf sistem bekalan air di pusat berkenaan demi keselesaan warga pusat jagaan berkenaan.

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB Rozaifee Abu Zaharim berkata penggunaan air bersih yang tinggi berikutan jumlah penghuni ramai menyebabkan tangki air sedia ada tidak mampu menampung keperluan harian pusat itu termasuk dalam aspek penyediaan makanan, cucian pakaian dan kerja pembersihan bilik penghuni.

“Sehubungan itu, PAAB bersetuju memasang sebuah tangki air baharu jenis Polyethylene berkapasiti 600 gelen setiap satu, memasang saluran paip dan pam air baharu selain menukarkan kepala paip sedia ada kepada peranti jimat air bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air,” katanya pada sidang media selepas program CSR berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Nurul Atikah Mohd Azmi.

Sementara itu, Rozaifee berkata PAAB berharap insiatif berkenaan akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air, sekali gus memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga emas.

Terdahulu pada program itu, Rozaifee turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan dan pakaian hasil sumbangan warga kerja PAAB kepada penghuni pusat berkenaan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

Program itu yang turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Relief Agency (MRA) Selangor serta sukarelawan daripada pelajar Universiti Multimedia, diisi dengan perkongsian bersama penceramah jemputan Ustaz Nazri Abbas serta penampilan khas artis undangan Datuk Nash.

PAAB ditubuhkan pada 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dengan menyediakan kadar pembiayaan kompetitif. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan