JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Sabah Gagalkan Cubaan Edar Dadah Bernilai Lebih RM3 Juta

20/05/2026 02:39 PM

KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan mengedar pelbagai dadah dianggar bernilai lebih RM3.15 juta dalam tiga rampasan di Lapangan Terbang Tawau dan Gudang Pos Aviation di bandar raya ini baru-baru ini.

Pengarah Kastam Sabah Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata pada 1.35 tengah hari 11 Mei, pihaknya merampas 57.27 kilogram dadah disyaki methamphetamine dianggar bernilai RM2.86 juta selepas memeriksa empat bagasi di Lapangan Terbang Tawau.

“Kesemua hablur jernih itu ditemukan dalam 142 beg plastik kedap udara berzip di dalam keempat-empat bagasi terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikan dadah di dalam beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam bagasi dan dihantar ke Tawau.

Ahmad Taufik berkata dalam kes kedua pada hari sama, Cawangan Narkotik JKDM Sabah merampas satu bungkusan pada 1 tengah hari disyaki mengandungi 4,678 gram methamphetamine bernilai RM233,900 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu.

Beliau berkata bungkusan terbabit dibawa ke Wisma Penguatkuasaan Sabah untuk siasatan lanjut dan sindiket dipercayai memasukkan dadah ke dalam bungkusan berwarna putih sebelum disimpan di dalam kotak serta dihantar ke Semporna menggunakan perkhidmatan kurier.

“Satu lagi rampasan dilakukan pada 8 Mei membabitkan 375 gram pil ekstasi bernilai RM56,250 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan dilabel sebagai set barangan elektronik bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Ketiga-tiga kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan