JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Remaja Mengaku Salah Cederakan Pemandu E-panggilan

20/05/2026 12:37 PM

ALOR GAJAH, 20 Mei (Bernama) -- Empat remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu e-panggilan, awal bulan ini.

Dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Majistret Dr Teoh Shu Yee selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka dituduh dengan niat bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu wanita berusia 42 tahun itu menggunakan senjata iaitu sebatang besi dan menjerut leher mangsa, di kawasan berhampiran hutan Kuala Sungai Baru, di sini pada 12.30 tengah malam, 4 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh, namun keempat-empat mereka yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Goh Jee Chee merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,000.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 selain penjaga perlu menemani remaja berkenaan setiap kali hadir ke mahkamah dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak bagi menjatuhkan hukuman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan