EKONOMI

Ekuinas Ambil Alih Kepentingan Shellys Marketing Perkukuh Pengembangan XES Shoes

20/05/2026 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengambil alih pegangan kawalan dalam Shellys Marketing Sdn Bhd, pengendali jenama kasut tempatan XES Shoes bagi menyokong rancangan pengembangan jenama itu ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Aliff Omar Mohamad Omar berkata pelaburan tersebut mencerminkan fokus berterusan syarikat ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu dalam memajukan syarikat tempatan yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh.

“Industri runcit berasaskan kedai di Malaysia diunjurkan mencapai RM365.9 bilion menjelang 2029, dengan pertumbuhan kadar tahunan terkumpul sekitar 6.0 peratus dari 2024 hingga 2029, sekali gus meletakkan XES Shoes dalam kedudukan kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliff berkata Shellys Marketing telah membina platform peruncitan domestik yang kukuh dan berpotensi untuk berkembang, disokong model perniagaan yang terbukti serta disesuaikan dengan segmen pengguna berasaskan nilai di Malaysia, selain mempunyai peluang pengembangan ketara di negeri-negeri yang masih kurang diterokai.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan pasukan pengurusan untuk memperkukuh model operasi, meluaskan kehadiran runcit dan dalam talian, serta memperdalam capaian dalam pasaran lebih meluas, di samping terus menyokong dan mengembangkan jenama Malaysia yang kukuh untuk menjadi pemain nasional utama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shellys Marketing Simpson Wong berkata syarikat itu melihat peluang lebih besar untuk mengembangkan rangkaian di seluruh negara susulan pembukaan cawangan ke-156 di Sungai Siput, Perak.

“Kami berkembang secara konsisten dengan visi jelas untuk menjadikan XES Shoes jenama kasut yang dipercayai dan menjadi pilihan isi rumah di Malaysia.

“Fokus kami adalah untuk menyediakan kasut yang selesa kepada pelanggan, disokong operasi runcit yang kukuh, kepakaran teknikal dalam kasut, pengurusan rantaian nilai yang efisien serta inovasi produk berterusan,” katanya.

Diasaskan pada 2002, XES Shoes berkembang daripada sebuah outlet di Wangsa Maju kepada rangkaian runcit di seluruh negara merangkumi sembilan negeri dengan lebih 1,000 produk termasuk kasut kerja, kasual dan sukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan