DUNIA

Malaysia, Myanmar Hampiri Pemulihan Hubungan Diplomatik Selepas Peralihan Kepimpinan Baharu

20/05/2026 11:38 AM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 20 Mei (Bernama) -- Putrajaya dan Nay Pyi Taw kini berusaha memulihkan hubungan hampir lima tahun selepas rampasan kuasa tentera Myanmar yang menjerumuskan negara itu ke dalam pengasingan diplomatik.

Dialog diplomatik kembali disambung semula selepas hubungan yang sekian lama dingin, susulan pemilihan bekas panglima angkatan tentera Min Aung Hlaing sebagai presiden pada 10 April lepas -- perkembangan yang mendorong diplomat menilai semula libat urus dengan negara Asia Tenggara itu.

Semasa lawatan kerja sehari ke Nay Pyi Taw pada Selasa, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, U Tin Maung Swe mengenai pelbagai isu.

“Kedua-dua menteri luar membincangkan secara mesra perkara berkaitan peningkatan hubungan antara Myanmar dan Malaysia di peringkat dua hala serta dalam konteks ASEAN.

“Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai usaha menggalakkan kerjasama sedia ada dalam bidang berkepentingan bersama,” menurut Kementerian Luar Myanmar menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Lawatan Mohamad juga dibuat tidak lama selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei lepas, apabila beberapa negara anggota berdepan kesukaran mencapai kata sepakat mengenai status kerajaan Myanmar yang baharu dipilih.

Sejak rampasan kuasa pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan awam dipilih, ASEAN tidak mengiktiraf pentadbiran yang diterajui tentera di Nay Pyi Taw dan menjauhkan diri secara diplomatik.

Pemerhati berkata pemulihan hubungan dua hala Malaysia-Myanmar menandakan perubahan politik yang berpotensi membentuk semula landskap diplomasi serantau di Asia Tenggara serta membuka laluan kepada penyertaan semula Myanmar dalam ASEAN selepas pergolakan politik yang berlarutan, konflik bersenjata dalam negara dan penelitian antarabangsa.

“ASEAN perlu merapatkan jurang kerana di Cebu, terdapat pandangan berbeza mengenai Myanmar pascapilihan raya. Lawatan Mohamad menunjukkan Malaysia kini mengiktiraf keputusan pilihan raya itu dan ia merupakan langkah yang baik.

“Walaupun beberapa negara lain masih belum mengiktiraf (pilihan raya Myanmar), pendekatan libat urus yang diselaraskan semula dengan Myanmar kini diperlukan,” kata penganalisis geopolitik berpangkalan di Bangkok, Kavi Chongkittavorn kepada Bernama.

Beliau berkata ASEAN perlu membuka laluan bagi pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Myanmar susulan pilihan raya kebangsaan bagi mencari penyelesaian secara damai terhadap krisis Myanmar yang berpanjangan.

Tahun lepas, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan kebuntuan politik ASEAN-Myanmar dan menghentikan perang saudara bersenjata yang masih berlarutan di beberapa kawasan negara itu.

Langkah itu adalah untuk membolehkan bantuan kemanusiaan antarabangsa yang kritikal disalurkan ke negara berkenaan yang terjejas akibat konflik saudara dan gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 magnitud yang melanda pada 28 Mac tahun lepas.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 3.3 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat krisis berterusan itu manakala sekitar 5,000 orang terkorban sejak rampasan kuasa berkenaan.

Pemerhati percaya Myanmar yang aman dengan kira-kira 55 juta penduduk adalah penting bagi kestabilan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan