SUKAN

Aznil, Eain Yow Dimasukkan Dalam Program RTG

19/05/2026 08:11 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin dan pemain skuasy lelaki negara Ng Eain Yow, diumumkan sebagai muka baharu dalam program Road to Gold (RTG).

Muhamad Aznil dipilih berdasarkan kedudukannya yang berada pada kedudukan keenam dunia bagi kategori bawah 65 kilogram.

Eain Yow pula, dipilih selepas tersenarai dalam kelompok lapan atlet terbaik bagi proses kelayakan ke Sukan Olimpik 2028, meskipun berada di luar kedudukan lapan terbaik dunia.

Sementara itu, pemain beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai, digugurkan daripada program RTG selepas terkeluar daripada ranking lapan terbaik dunia.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata jawatankuasa RTG, turut mengekalkan pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, meskipun atlet berkenaan tercicir daripada kedudukan lapan terbaik dunia.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kontrak RTG yang mengambil kira faktor kecederaan, tempoh pemulihan serta tempoh kembali bertanding, iaitu sehingga enam bulan.

“Shah Firdaus juga telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan baru-baru ini beliau menduduki tempat kedua dalam pertandingan Piala Trek Jepun atau Japan Track Cup minggu lepas,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa RTG di Menara KBS, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq turut memaklumkan jawatankuasa RTG telah mengenal pasti dua atlet muda berpotensi iaitu Nur Alissa Mohd Farid dari sukan berbasikal trek dan Elvis Presley Anak Clement dari akuatik terjun, untuk disenaraikan dalam program Fast Track.

“Kedua-dua atlet ini telah menunjukkan prestasi yang konsisten sepanjang 2025 dan juga tahun ini.

“Jawatankuasa RTG akan memantau prestasi mereka di Sukan Asia 2026 dan sekiranya memenuhi kriteria program, kedua-dua atlet ini akan dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam program Fast Track,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq turut memaklumkan RTG akan menjadi program sepenuh masa berkuat kuasa tahun ini.

Beliau berkata perkembangan itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu kualiti dan pembangunan sukan terus dipelihara, meskipun berdepan krisis.

“RTG akan menjadi program sepenuh masa berbanding sebelum ini, yang merupakan program top-up.

“Elemen program penuh ini termasuk elaun prestasi, elaun RTG, gaji jurulatih, pendedahan pertandingan, pengurusan pusat latihan khusus, program pembangunan, perkhidmatan sokongan berdedikasi serta sokongan sains sukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan