JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden Bakar Lori, Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Komersial Labuan Buat Laporan Polis

18/05/2026 05:05 PM

LABUAN, 18 Mei (Bernama) -- Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Nelayan Komersial Labuan membuat laporan polis berhubung beberapa insiden disyaki perbuatan khianat melibatkan vandalisme dan membakar dua lori yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000.

Pengerusinya Peter Chi Kain Sang berkata persatuan tersebut bimbang dengan kejadian berulang itu, yang menyaksikan sebuah lori musnah sepenuhnya akibat terbakar manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 10 peratus dan dipercayai mengalami kerosakan selepas beberapa kabelnya dipotong hingga tidak dapat digunakan.

Beliau berkata persatuan itu turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang dapat menyalurkan maklumat sahih bagi membantu siasatan polis.

“Ini merupakan kejadian pertama seumpamanya dan perkara ini telah dibincangkan dalam kalangan ahli persatuan bagi mencari kesimpulan, namun setakat ini kami tidak menemukan sebarang petunjuk. 

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chi berkata insiden pertama berlaku pada 9 malam, 13 Mei lepas di Jalan Ujung Pasir berdekatan jeti nelayan lama, tempat lori itu diparkir.

Beliau berkata kejadian kedua berlaku berdekatan kawasan parkir Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam, manakala insiden ketiga pada 17 Mei di Jalan Ujung Pasir membabitkan lori berbeza yang terbakar sepenuhnya. 

Beliau berkata insiden berulang itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha ikan komesial memandangkan lori sangat penting untuk mengangkut produk perikanan dan bekalan mereka serta aktiviti berkaitan logistik lain. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Robin @ Ridzuan Ismail mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara tersebut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan terperinci akan dijalankan dan mengesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan