AM

Sim Zahir Penghargaan Kepada Bekas Guru, Hargai Jasa Dan Tunjuk Ajar

18/05/2026 05:14 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong menzahirkan penghargaan kepada bekas gurunya yang disifatkan sebagai insan penting dalam membentuk perjalanan hidup beliau sejak di bangku sekolah rendah hingga menengah.

Sim berkata sambutan Hari Guru tahun ini cukup bermakna apabila beliau berpeluang meraikannya bersama-sama bekas gurunya dari Sekolah Rendah Stowell hingga High School Bukit Mertajam selepas lebih 30 tahun tidak bersua.

Katanya, jasa dan tunjuk ajar guru yang mengajar beliau kekal segar dalam ingatannya, termasuk guru Bahasa Melayu pertamanya ketika tahun satu, Puan Zaniyah, yang mengajar membaca, menulis dan menguasai bahasa Melayu.

“Tanpa mereka, tidak mungkin saya sampai ke tahap ini. Semoga dilimpahkan kesihatan, rahmat dan keberkatan atas setiap jasa cikgu dan semoga pahala terus mengalir selagi ilmu itu diamalkan oleh anak-anak murid," katanya menerusi hantaran di laman Facebook sempena sambutan Hari Guru.

Sim berkata antara guru yang masih diingatinya ialah Cikgu Idrus, abang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi guru besar ketika beliau bersekolah di Sekolah Rendah Stowell.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan