JENAYAH & MAHKAMAH

Yuyu Tidak Bebas Tuduhan Dadah, Hanya Dilepas Dengan Jaminan Mahkamah - Polis

18/05/2026 02:27 PM

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Polis menafikan pemilik salun dan kedai makan Nur Ayu Fatihah Zaudi, atau lebih dikenali sebagai Yuyu, dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah, sebaliknya dia hanya dilepaskan dengan jaminan mahkamah pada minggu lepas selepas pertuduhan terhadapnya dipinda.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pertuduhan terhadap wanita berusia 35 tahun itu diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama, ketika prosiding mahkamah berlangsung.

Beliau berkata pindaan pertuduhan itu dibuat berdasarkan laporan kimia, lokasi penemuan serta berat dadah yang dirampas daripada suspek.

“Kes itu masih dalam proses perbicaraan. Pertuduhan terhadap Nur Ayu Fatihah dan seorang lagi suspek diturunkan kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membolehkan mereka diikat jamin.

“Dia dibenarkan diikat jamin RM10,000 pada minggu lepas. Jaminan yang dibayar itu tidak bermakna dia telah dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan dadah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata setakat ini, wanita itu dan seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi suspek termasuk suami Nur Ayu Fatihah masih berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B akta sama.

“Justeru, saya berharap orang ramai termasuk pengguna media sosial tidak keliru dengan video berkaitan Nur Ayu Fatihah yang tular di media sosial. Dia bukan dibebaskan daripada pertuduhan kes dadah, sebaliknya hanya dilepaskan dengan jaminan selepas pertuduhan terhadapnya dipinda,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lima suspek termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada 10 Julai tahun lepas atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh semua tertuduh iaitu Mohd Faizal Ismail, 35; isterinya, Nur Ayu Fatihah; Mohamad Farid Ismail, 33; Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan