JENAYAH & MAHKAMAH

Penyeludup Tukar Helah, Guna Laluan Laut Dan Sungai Kecil Tembus Kelantan

18/05/2026 12:01 PM

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Kawalan keselamatan yang ketat dan penutupan pangkalan haram di sepanjang sempadan Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand mendorong sindiket penyeludupan mengubah modus operandi dengan menggunakan laluan air dan pesisir pantai bagi meneruskan kegiatan mereka.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata taktik terbaharu itu dikesan apabila kumpulan penyeludup dan pendatang tanpa izin mula memasuki negeri ini melalui sungai-sungai kecil di Tumpat yang bersambung terus ke Sungai Kelantan.

Beliau berkata selain menumpukan daerah sempadan seperti Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, sindiket turut dikesan menggunakan laluan laut bermula dari Kuala Besar melalui Pengkalan Chepa hingga ke Tok Bali sebagai laluan transit baharu.

Susulan ancaman itu, beliau mengarahkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu termasuk daerah yang tidak bersempadan secara langsung seperti Bachok dan Pasir Puteh supaya mempertingkatkan risikan masing-masing.

“Isu jenayah rentas sempadan di Kelantan kini diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi mengelakkan ketirisan terutama membabitkan bahan api yang dibimbangi diseludup ke negara jiran.

“Tidak kira Cawangan Khas atau unit lain, masing-masing perlu memainkan peranan kerana jika risikan lemah, maka kuranglah tangkapan dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di sini hari ini.

Mohd Yusoff turut memberi amaran keras kepada mana-mana pegawai dan anggota polis agar tidak bersekongkol atau menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan rentas sempadan.

Beliau menegaskan pihaknya tidak berkompromi terhadap pegawai dan anggota polis yang didapati terlibat dalam rasuah, pembocoran maklumat atau sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti, kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap pasukan itu.

Mengulas pencapaian operasi elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), beliau berkata sebanyak 375 kes melibatkan barangan kontraban direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM10.18 juta serta 212 tangkapan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 135 kes berkaitan penyelewengan barangan subsidi direkodkan dengan nilai rampasan RM215,725 membabitkan 70 tangkapan.

“Polis turut menahan 102 pendatang asing dari pelbagai negara serta 47 individu yang bertindak sebagai penghantar (transporter) dalam kegiatan rentas sempadan,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan awam terus terkawal sepanjang musim cuti dan perayaan, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan menu “Balik Kampung” menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol bagi memudahkan polis menjalankan rondaan di kawasan kediaman ditinggalkan sepanjang tempoh berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan