JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana negeri dalam penyaluran peruntukan, termasuk bagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata bantuan kepada semua negeri, termasuk yang ditadbir pembangkang akan terus disalurkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kepentingan rakyat.
“Inilah sikap seorang pemimpin yang tidak memilih kasih mengikut Perlembagaan dan prinsip demokrasi. Jadi, jika kita mahu menukar Perdana Menteri, tunggulah sehingga pilihan raya. Jangan tergesa-gesa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Mohamad ketika mengulas situasi di Johor berkata beliau akan terus berusaha mendapatkan tambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi 2026 untuk memperkukuh sektor pertanian di negeri itu.
“Di Johor, dalam Rancangan Malaysia Ke-13, diperuntukkan sekitar RM201 juta untuk pertanian. Kami bukan sahaja tidak mahu tarik balik, malah mahu tambah lagi peruntukan.
“Dalam soal pertanian dan keterjaminan makanan, kami tidak melihat warna politik. Negeri mana yang rajin, kami sokong,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat terus memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan untuk menerajui kepimpinan negara bagi penggal seterusnya, sambil menyifatkan pembentukan kerajaan itu sebagai hasil proses panjang kerjasama politik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial