AM

Amir Hamzah Menghadap Sultan Pahang Minggu Ini Perjelas Isu Peruntukan Persekutuan

17/05/2026 05:59 PM

BALIK PULAU, 17 Mei (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi memperjelaskan isu berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri berkenaan.

Amir Hamzah berkata komitmen Kerajaan Persekutuan jelas dalam memastikan setiap peruntukan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan menghadap Sultan Pahang, insya-Allah minggu ini untuk memperjelaskan sedikit dan ini bagi memastikan semua pihak faham apa yang telah kami berikan dan peruntukan yang disediakan.

“Saya rasa perkara ini tiada masalah,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan Kelas Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan kepada negeri dari semasa ke semasa, khususnya melibatkan perbelanjaan pembangunan berdasarkan keutamaan semasa.

Pada 8 Mei lepas, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 bertitah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu. 

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta Amir Hamzah menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri berkenaan untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan