JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Tempatan Ditahan Jual Bahagian Hidupan Liar Di Kota Kinabalu

15/05/2026 07:32 PM

KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan penjualan haram bahagian hidupan liar dipercayai daripada spesies dilindungi dalam Ops Antique di sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu pada Rabu lepas.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menemukan dan merampas pelbagai bahagian hidupan liar yang dipercayai daripada spesies dilindungi.

“Ia termasuk 16 gigi taring disyaki babi hutan, sembilan gigi disyaki harimau dan 10 gigi disyaki beruang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sejumlah produk sarang burung walet pelbagai berat dan 13 batu disyaki daripada spesies landak turut dirampas.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi kesalahan memiliki, menyimpan dan mempamerkan bahagian hidupan liar tanpa kebenaran sah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Bagi kesalahan melibatkan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 5 tahun.

Kenyataan itu memaklumkan operasi bersepadu itu melibatkan PDRM melalui Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman.

Jabatan berkenaan turut menghargai kerjasama strategik bersama Perisikan Siasatan Khas, PDRM dalam membanteras jenayah hidupan liar di negeri itu.

Pada masa sama, JHLS meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram hidupan liar kepada jabatan itu bagi membantu usaha perlindungan hidupan liar di Sabah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan