KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata beliau masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengurusan kolam takungan banjir sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
Hannah berkata laporan berhubung isu itu telah dibuat pada 2021 ketika beliau masih berada di blok pembangkang, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
“Sebenarnya sebelum kita menjadi kerajaan, sebagai ahli pembangkang, kita telah membuat laporan kepada SPRM. Laporan dibuat pada 2021 ketika banjir besar melanda Kuala Lumpur. Jadi saya juga nak tahu hasil siasatan tersebut dan perlu mendapatkan status daripada SPRM sebelum mengulas lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Stesen Kereta Api Segambut Utara oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Sebelum ini, Hannah mendedahkan kapasiti kolam takungan banjir di ibu negara kini dianggarkan hanya sekitar 30 peratus berbanding saiz asal susulan penyusutan kawasan kolam berkenaan di Jinjang dan Batu akibat pembangunan di 17 lot tanah.
Beliau berkata pihaknya memandang serius keadaan itu apabila membabitkan 70 peratus daripada 17 lot tanah berkenaan telah diberi hak milikan kepada pemaju sejak 2015 bagi tujuan pembangunan, sekali gus menyebabkan pengurangan kapasiti badan air berbanding keluasan asal 114.5 hektar.
Susulan pendedahan itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju di ibu negara ketika memegang jawatan berkenaan.
Sementara itu, Hannah berkata beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan kelemahan pengurusan kolam banjir tidak berulang termasuk menubuhkan pasukan kerja khas melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperketat syarat teknikal setiap projek pembangunan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial