AM

Malaysia Tegas Pendirian Krisis Asia Barat Harus Diselesaikan Melalui Dialog - Mohamad

14/05/2026 11:55 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

NEW DELHI, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia menegaskan bahawa segala pertikaian di Asia Barat perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pendirian itu disampaikan ketika pertemuan dengan Menteri Luar Iran Dr Seyed Abbas Araghchi di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan BRICS 2026, di sini hari ini.

Mohamad berkata dalam pertemuan itu, beliau turut mendapatkan perkembangan terkini mengenai konflik di Asia Barat yang terus memberikan kesan terhadap kestabilan serantau serta keselamatan antarabangsa.

“Malaysia menegaskan pendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, demi menjamin keamanan, kestabilan serta keselamatan di rantau tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada mesyuarat berkenaan, Mohamad turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Luar Cuba Bruno Eduardo Rodríguez Parrilla.

Beliau berkata perbincangan menyentuh situasi geopolitik dan ekonomi semasa di Cuba, selain perkembangan terkini di Asia Barat yang terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Katanya, Parrilla turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap usaha menamatkan sekatan unilateral Amerika Syarikat terhadap Cuba.

“Malaysia dan Cuba kekal komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama di platform antarabangsa, termasuk BRICS, NAM dan G-77,” katanya.

Selain itu, Mohamad juga mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri India Narendra Modi, di pejabat beliau di Seeva Teerth, di sini.

“Perdana Menteri Narendra Modi telah mengalu-alukan kehadiran para delegasi dan berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kerangka BRICS, khususnya ke arah hubungan yang lebih erat, inklusif dan saling bermanfaat,” katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan BRICS 2026 menghimpunkan menteri dan wakil negara anggota serta rakan BRICS bagi membincangkan perkembangan geopolitik global, kerjasama ekonomi dan isu melibatkan negara-negara Selatan Global.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan