JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Warga China Ditahan Selepas Cuba Lolos Sekatan Polis

14/05/2026 03:01 PM

KANGAR, 14 Mei (Bernama) -- Empat lelaki warga China ditahan selepas dipercayai cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis sebelum kenderaan dinaiki mereka berjaya dipintas dalam sekatan jalan raya (SJR) Kampung Wai, Kuala Perlis, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kesemua suspek berusia antara 45 hingga 52 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang dalam Ops Pintu yang dijalankan susulan maklumat awam mengenai sebuah Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Risikan Polis Marin kemudian mengesan kenderaan berkenaan sebelum pemandunya bertindak memecut bagi mengelak ditahan.

“Suspek turut cuba merempuh sekatan SJR Kampung Wai sebelum kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua suspek enggan memberikan kerjasama dan tidak membuka pintu kenderaan walaupun polis telah memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa.

“Suspek kemudian bertindak mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota polis menyebabkan pihak polis terpaksa memecahkan cermin belakang dan cermin sisi kenderaan untuk menahan mereka. Kesemua suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum mereka berjaya diberkas,” katanya.

Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk beberapa telefon bimbit, walkie-talkie, lampu suluh, topi hitam, rambut palsu, sarung tangan, alat dipercayai ‘master key’, besi, playar, pemutar skru serta Toyota Innova yang digunakan suspek.

Siasatan awal mendapati semua suspek memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lepas sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini, manakala kenderaan yang digunakan dipercayai disewa di Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek direman hari ini hingga 18 Mei nanti bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan