JENAYAH & MAHKAMAH

Syarikat Didakwa Beli Diesel Subsidi Nelayan, Simpan Bahan Api Lebih Had Bernilai RM3.3 Juta

13/05/2026 10:13 PM

KUANTAN, 13 Mei (Bernama) -- Sebuah syarikat pemborong hasil laut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 164 pertuduhan membeli diesel subsidi nelayan tanpa lesen dan menyimpan bahan api itu melebihi kuantiti dibenarkan yang berjumlah lebih dua juta liter bernilai RM3.3 juta, pada 2024.

Atong Fishing Sdn Bhd diwakili tiga pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 73, dan dua anak lelaki Cheng Thee Yong, 49, serta Cheng Thee How, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sazlina Safie selepas kesemua pertuduhan dibacakan yang mengambil masa hampir sejam.

Syarikat itu didakwa atas 163 pertuduhan tanpa lesen borong telah membeli barang kawalan, iaitu diesel bernilai antara RM9,900 dan lebih RM100,000 daripada Persatuan Nelayan Kawasan Rompin dari 8 Jan 2024 hingga 13 Jan 2025 di Persatuan Nelayan Kawasan Rompin, Kuala Rompin.

Pendakwaan dibuat mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda maksimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Syarikat itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyimpan diesel melebihi kuantiti dibenarkan dalam permit apabila memiliki 96,699 liter berbanding 60,000 liter had simpanan yang dibenarkan di sebuah premis di Jalan Feri Lama, Kampung Tanjung Gemuk, Kuala Rompin pada 14 Jan.

Syarikat itu didakwa telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, tiga pengarah syarikat tersebut masing-masing didakwa atas empat pertuduhan melibatkan kesalahan menyimpan diesel melebihi kuantiti dibenarkan dalam permit dan membeli bahan api itu tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Munirah Shamsudin@Baharum bersama-sama Pegawai Pendakwa Nor Amri Mohamad Nawi. 

Tiga beranak itu diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi atas alasan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan merupakan isu berkepentingan awam dan diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Sazlina membenarkan jaminan RM45,000 bagi setiap OKS dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat KPDN Pahang setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan