SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan dua defendan dalam saman pemula difailkan Datuk Mubarak Thahak dan lima lagi individu supaya mengemukakan afidavit bagi menyokong bantahan terhadap bidang kuasa mahkamah dalam tempoh tujuh hari.
Hakim Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU, pada prosiding hari ini.
Peguam yang mewakili kedua-dua defendan, Steven Thiru, membantah permohonan saman pemula berkenaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mahkamah seperti termaktub dalam Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
"Nasihat Dewan (DKU) atas soal-soal berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu di mana-mana tempat di dalam negeri ini termasuk nasihat atas soal-soal berkaitan dengan pemilihan atau warisan kepada atau perlucutan daripada atau pengosongan jawatan mana-mana Undang Yang Empat yang disebut dalam Perkara XIV adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas sebarang alasan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai bagi pendengaran kes.
Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Ala'uddin Baharom yang juga peguam mewakili defendan ketiga (Kerajaan Negeri Sembilan) turut membantah permohonan plaintif untuk mendapatkan minit mesyuarat DKU kerana defendan bukanlah ahli DKU.
"Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Saya percaya bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit mesyuarat dan keputusan adalah perkara berbeza, manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan), defendan membantah sekerasnya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu," katanya.
Bagaimanapun, hakim berkata mahkamah tidak membenarkan penangguhan interim yang dimohon di bawah permohonan berkenaan pada peringkat ini, antaranya kerana kekurangan bahan dan maklumat yang mencukupi untuk membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan penangguhan interim tersebut.
"Pada waktu ini, mahkamah tidak akan membenarkan apa-apa perintah untuk penggantungan seperti yang dimohon," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili enam plaintif berkata hakim membuat keputusan bahawa tidak mencukupi keterangan di dalam afidavit untuk membenarkan penggantungan interim dilakukan.
"Namun, hakim telah menjelaskan bahawa pihak plaintif tidak terhalang membuat permohonan rasmi mengenai penggantungan tersebut dan akan mendapatkan arahan daripada plaintif bagi tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pada 5 Mei lepas, Mubarak bersama-sama lima individu lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU Negeri Sembilan yang berlangsung pada 17 April lepas.
Lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Sebelum ini, Mubarak dilaporkan sudah dilucutkan daripada kedudukan sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial