DUNIA

China, Brunei Perlu Tingkat Komunikasi, Erat Kerjasama - Xi

13/05/2026 02:36 PM

BEIJING, 13 Mei (Bernama-CMG) -- China dan Brunei perlu meningkatkan komunikasi strategik serta memperkukuh kerjasama dalam bidang substantif ketika berdepan situasi antarabangsa yang bergolak dan tidak menentu, kata Presiden China Xi Jinping.

Beliau berkata langkah itu penting bagi menyuntik lebih banyak tenaga positif terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Xi berkata demikian ketika menerima kunjungan Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di sini pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Xi berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik China-Brunei, selain tahun pertama pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu memanfaatkan peluang itu untuk membawa kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi, sejajar dengan usaha Brunei menuju Wawasan 2035.

“Kedua-dua negara perlu menjadi rakan strategik yang saling mempercayai dan rakan pembangunan yang saling menguntungkan, termasuk menggalakkan pelaksanaan projek mega yang boleh menjadi ikon kerjasama.

“Kedua-dua negara juga perlu memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital,” kata Xi.

Beliau juga berkata China dan Brunei perlu menjadi rakan dalam pertukaran tamadun, memperkukuh hubungan antara rakyat, bersama-sama melaksanakan Inisiatif Tamadun Global serta mempererat interaksi sosiobudaya.

“China bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN termasuk Brunei yang dilihat sebagai rakan kongsi dalam tadbir urus global, membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih kukuh serta menjadikan rantau ini ikon global bagi keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran,” katanya.

Sementara itu, Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah menyampaikan salam daripada Sultan Hassanal Bolkiah kepada Xi.

Putera Mahkota bertitah bahawa Brunei kekal menyokong dasar Satu China dan bersedia bersama-sama China untuk memperdalam hubungan rakan strategik serta meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Baginda turut menjelaskan bahawa hubungan rakan strategik menyeluruh ASEAN-China mampu membawa manfaat kepada rantau ini.

Brunei juga berharap dapat mempererat kerjasama dengan China dan terus meningkatkan hubungan ASEAN-China, yang diyakini kondusif dalam memelihara kemakmuran serta kestabilan serantau.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan