EKONOMI

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 8.2 Peratus Pada Mac 2026

13/05/2026 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 8.2 peratus kepada 21,310 tan pada Mac 2026 daripada 22,124 tan pada Februari 2026, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM memaklumkan pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2026 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil (87.8 peratus) berbanding estet (12.2 peratus).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 29.3 peratus daripada 28,739 tan pada Mac 2025.

Pada masa yang sama, jumlah stok getah asli pada Mac 2026 menurun 1.8 peratus kepada 139,174 tan daripada 141,697 tan pada Februari 2026.

 "Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 79.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (20.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus)," jelasnya.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 33,137 tan pada Mac 2026 menurun 2.2 peratus daripada 33,897 tan pada Februari 2026.

DOSM menyatakan China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 44.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2026 diikuti Jerman (18.1 peratus), Portugal (4.6 peratus) Amerika Syarikat (4.4 peratus) dan Brazil (3.9 peratus).

 Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

 "Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM920 juta pada Mac 2026, meningkat 3.8 peratus berbanding RM880 juta pada Februari 2026," menurut DOSM.

Dari segi harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan 665.40 sen sekilogram pada Mac 2026 daripada 586.69 sen sekilogram pada Februari 2026, peningkatan sebanyak 13.4 peratus.

Sementara itu, sekerap merekodkan harga purata bulanan 654.27 sen sekilogram pada Mac 2026 daripada 631.13 sen sekilogram pada Februari 2026, peningkatan sebanyak 3.7 peratus.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan