AM

Kenyataan Hina Sahabat Nabi Tuduhan Berat, Tidak Wajar Diungkap Sewenang-wenangnya - Mufti

13/05/2026 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata kenyataan yang menghina sahabat Nabi Muhammad SAW merupakan tuduhan berat dan tidak wajar diungkapkan sewenang-wenangnya.

Beliau menegaskan penyebaran tuduhan tanpa asas terhadap sahabat besar Rasulullah SAW adalah perbuatan yang tidak beradab dan boleh membawa kepada fitnah terhadap tokoh yang dimuliakan dalam Islam.

Ahmad Fauwaz berkata kedudukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati.

“Beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang. Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan.

“Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar RA merupakan seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fauwaz berkata kisah tersebut jelas menggambarkan bahawa Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang sebagaimana yang didakwa, sebaliknya merupakan tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan.

“Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” katanya.

Mengenai kehidupan Saidina Umar al-Khattab RA pada zaman jahiliyyah, Ahmad Fauwaz berkata para sejarawan Islam banyak membahaskan tentang ketegasan, keberanian dan pengaruh beliau dalam masyarakat Quraisy, termasuk sikapnya terhadap dakwah Islam sebelum memeluk agama Islam.

Katanya, antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup, namun ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.

Beliau berkata hal itu turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar RA sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah RA dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.

“Dalam masa yang sama, sebahagian riwayat sejarah ada menyebut bahawa Saidina Umar RA pernah terlibat dengan budaya masyarakat Arab Jahiliah seperti meminum arak sebelum Islam, kerana perbuatan tersebut sememangnya menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu.

“Namun demikian, tidak ditemui dalam perbahasan para ulama dan sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan beliau sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian,” katanya. 

Ahmad Fauwaz berkata Rasulullah SAW sangat memuliakan para sahabat Baginda dan disebab itu, adalah tidak wajar untuk menjadikan kisah zaman jahiliah sebagai bahan yang menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW.

Katanya, umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan para sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta.

Beliau turut memberikan garis panduan bagi para penceramah ketika membicarakan perihal sahabat Baginda SAW antaranya dengan merujuk sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah para sahabat dan memelihara adab dan kehormatan para sahabat Rasulullah SAW dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.

“Hindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW, tidak menyampaikan kisah zaman jahiliyyah para sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah dan meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan kisah berkaitan para sahabat, khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.

“Perlu juga bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu dan menggunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan