DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Prospek Tawaran Dan Permintaan Lemah

12/05/2026 09:41 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini dipengaruhi oleh prospek penawaran dan permintaan yang lemah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata data April terkini daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan peningkatan dalam stok minyak sawit sekali gus mengesahkan eksport yang perlahan sebagai faktor utama menjejaskan sentimen pasaran.

Peniaga itu menambah walaupun sentimen menurun menekan harga MSM menjadi lebih rendah, perkembangan di Asia Barat berpotensi menyokong harga pada masa hadapan.

"Ketegangan  berlarutan di antara Amerika Syarikat dengan Iran boleh terus menyokong harga MSM atau mencetuskan kenaikan mendadak dalam jangka pendek," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2026 menyusut RM44 kepada RM4,451 setiap tan, Jun 2026 merosot RM34 kepada RM4,450 setiap tan dan Julai 2026 turun RM35 kepada RM4,481 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 berkurang RM28 kepada RM4,504 setiap tan, September 2026 susut RM26 kepada RM4,515 setiap tan manakala Oktober 2026 merosot RM23 kepada RM4,525 setiap tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 128,099 lot daripada 61,162 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 280,300 kontrak daripada 280,839 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan turun sebanyak RM30 kepada RM4,510 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan