JENAYAH & MAHKAMAH

Libas Parang Ke Arah Polis: Lelaki Dipercayai Pengedar Dadah Ditahan

12/05/2026 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan selepas bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota polis ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi di Jalan Ulu Yam, Batu Caves dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kejadian berlaku pada kira-kira 4.30 petang ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan suspek yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Dalam cubaan untuk melarikan diri, suspek bertindak agresif dengan melibas sebilah parang ke arah anggota polis sebelum dia berjaya ditahan sepenuhnya.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas sebilah senjata tajam berukuran 57 sentimeter selain dadah disyaki heroin seberat 18.9 gram dan syabu seberat 7.4 gram,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Suspek kini direman selama empat hari hingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor S. Prakash di talian 012-2940 827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan