JENAYAH & MAHKAMAH

Polis, Jabatan Veterinar Sabah Tumpas Aktiviti Simpan Ayam Sabung Tanpa Lesen Di Sandakan

12/05/2026 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bahagian Perisikan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama dengan Jabatan Veterinar Sabah hari ini menumpaskan aktiviti penyimpanan ayam sabung tanpa lesen dalam serbuan di dua lokasi di Sandakan, Sabah.

Pegawai Turus Siasatan Organisasi Pasukan 1 PSK JKDNKA Bukit Aman DSP Muhammad Juwaidi Ismail berkata Ops Taring Sangkar yang dijalankan pada 12.15 tengah hari itu diketuai ACP Mohamed Sazif Mohamed Subri bersama pegawai PSK dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata serbuan dilakukan di Batu 7 dan sebuah premis tidak bernombor di Batu 7, Jalan Airport, Sandakan.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 43 dan 30 tahun kerana disyaki menyimpan ayam sabung dipercayai baka dari luar negara tanpa lesen sah... semakan mendapati tiada lesen sah berkaitan ayam sabung yang disimpan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Juwaidi berkata dalam serbuan di lokasi pertama, pihak berkuasa merampas 18 ekor ayam disyaki ayam sabung, sebuah patung ayam palsu, tiga unit glove taji, tiga sangkar ayam, lapan biji Cyanocobalamin (Vitamin B12) dan lapan biji multivitamin serta mineral.

Sementara di lokasi kedua, beliau berkata rampasan melibatkan 69 ekor ayam disyaki ayam sabung, sebuah patung ayam palsu, lima sangkar ayam, lima unit glove taji, empat bungkus ubat ayam jenama Ambroxitil Max, tiga biji multivitamin mineral, empat biji vitamin jenama RX Excellence, sebiji vitamin jenama RX Hammer dan lima picagari.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM529,245 melibatkan RM153,490 di lokasi pertama dan RM375,755 di lokasi kedua,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015.

Muhammad Juwaidi juga berkata semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sabah di Sandakan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi yang dilaksanakan dapat mengekang aktiviti penyeludupan dan aktiviti haram berkaitan ayam sabung.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan