EKONOMI

Taiwan Sasar Kerjasama Lebih Erat Dengan Malaysia Dalam Rantaian Bekalan Berteknologi Tinggi

12/05/2026 06:57 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Taiwan sedang berusaha untuk mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia dalam rantaian bekalan berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI).

Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Dr Lien Yu-Ping berkata aplikasi dan perisian pintar akan memacu teknologi generasi akan datang, robotik juga dijangka menjadi trend masa depan.

“Dengan ekosistem rantaian bekalan Pulau Pinang yang mantap dan komprehensif serta kehadiran syarikat multinasional, Malaysia dan Taiwan boleh bekerjasama untuk merebut peluang ini,

“Taiwan kukuh dalam integrasi, manakala Malaysia boleh menjadi contoh dalam penampilan untuk industri teknologi tinggi generasi akan datang, menjadikan ianya sebagai perkongsian menang-menang kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada Bernama di Taiwan Smart Solutions Connect 2026 di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata perdagangan dua hala Taiwan–Malaysia diunjurkan berkembang 20 hingga 30 peratus tahun ini, dipacu oleh sektor E&E. 

Lien berkata sektor E&E terutamanya semikonduktor dan AI, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada perdagangan dua hala kerana ia sangat didorong oleh pelaburan.

"Dengan kepesatan industri berkaitan AI dan Kepintaran Buatan, Malaysia serta Taiwan akan mendapat manfaat daripada perkembangan ini. 

"Industri berkaitan AI sangat bergantung kepada cip. Produk dan sektor seperti telefon pintar, kenderaan elektrik, pengkomputeran awan, aplikasi AI, pusat data serta robotik semuanya bergantung pada teknologi AI.

“AI pula bergantung kepada semikonduktor, yang mana, teknologi ini sedang membentuk semula ekosistem global dan mengukuhkan daya saing global,” katanya. 

Taiwan adalah peneraju dalam industri semikonduktor dan ini kekal sebagai salah satu kekuatan utama pembangunan perindustriannya, tambahnya.

Beberapa syarikat semikonduktor terkenal di seluruh rantaian bekalan telah melabur di Malaysia seperti ASE Technology Holding di Pulau Pinang yang terlibat dalam pembungkusan dan ujian semikonduktor, TecoBar Technology Co. Ltd di Pulau Pinang dan Wiwynn di Johor, yang pakar dalam peralatan pusat data.

"Apabila melibatkan pusat data dan pengkomputeran awan, kami membantu melatih model bahasa besar (LLM) yang digunakan dalam AI. Setelah dilatih, aplikasi AI ini boleh digunakan dalam banyak sektor seperti pengangkutan, pendidikan dan pembangunan bandar selain memacu pertumbuhan penyelesaian pintar serta ekosistem yang lengkap," katanya. 

Tahun lepas, perdagangan dua hala Taiwan-Malaysia mencecah US$57.4 bilion (US$1=RM3.92), mewakili peningkatan 32.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Taiwan kini merupakan rakan dagang keempat terpenting Malaysia dan pelaburan langsung asing ketujuh terbesar, mewujudkan lebih 470,000 pekerjaan di negara ini.

Taiwan Smart Solutions Connect 2026 yang dianjurkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) hari ini menghimpunkan 26 perusahaan teknologi paling inovatif Taiwan.  

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Nietzsche Enterprise Co. Ltd Johnson Chang, salah seorang peserta pada acara itu berkata langkah Malaysia ke arah bandar pintar, matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk pembangunan mampan di bawah Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030) menyerlahkan kepentingan menukar data kepada tindakan praktikal.

Beliau berkata syarikat itu menggunakan penderia AI of Things (AIoT), LoRa (Komunikasi Jarak Jauh Bertenaga Rendah) dan analisis AI bagi membantu bandar serta kilang meningkatkan kecekapan, mengurangkan pelepasan dan membuat keputusan yang lebih pantas.

 

“Untuk aspek alam sekitar, kami menyediakan tempat letak kereta pintar dan penyelesaian pembuatan pintar yang membantu mengurangkan penggunaan bahan api, sisa tenaga termasuk pelepasan karbon melalui pemantauan masa nyata serta penjejakan data. 

“Kami juga menyokong pelaporan ESG, audit karbon dan pengurusan tenaga untuk membantu syarikat membina amalan kemampanan yang lebih boleh dipercayai dan boleh dikesan,” katanya. 

Dari segi sosial, Chang berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada keselamatan dan kesejahteraan komuniti melalui teknologi seperti penjejak untuk penjagaan warga emas serta kamera AI dalam memantau pematuhan keselamatan di tempat kerja. 

“Sistem ini direka bagi meningkatkan keselamatan awam, melindungi pekerja dan menyokong kumpulan yang terdedah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan