AM

Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global Dijangka Boleh Diakses Mulai 15 Mei

12/05/2026 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijangka boleh diakses oleh orang awam bermula pada 15 Mei ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata papan pemuka itu bertujuan menjadi sumber rujukan berpusat yang telus dan mudah diakses oleh orang awam dalam memantau perkembangan semasa berkaitan krisis bekalan global.

“Paparan awam papan pemuka ini merangkumi 10 submenu utama antaranya tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran wang asing dan aliran perdagangan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata paparan khas kerajaan pula akan digunakan sebagai platform pemantauan dalaman bagi menilai perkembangan krisis, mengenal pasti risiko awal serta merangka strategi dan tindakan mitigasi secara lebih tersusun berasaskan data yang hampir masa nyata.

Beliau berkata perkara itu ialah peralihan penting dalam cara kerajaan mengurus krisis, iaitu dengan menggunakan data hampir masa nyata untuk mengesan tekanan awal, menyelaras tindakan dan memberikan maklumat yang lebih jelas kepada rakyat.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan menyambut baik cadangan Bank Dunia berhubung empat keutamaan kepada Malaysia, iaitu menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyasarkan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terkesan.

Beliau berkata perkara itu selari dengan keputusan kerajaan melalui inisiatif yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan apabila pendekatan itu turut menekankan kepentingan memastikan kelancaran bekalan barangan kritikal dan pembiayaan rantaian bekalan bagi firma yang terdedah.  

“ … pandangan Bank Dunia bahawa tekanan global berlaku secara berlapis. Kenaikan harga minyak global, baja dan makanan memberikan kesan yang berbeza, tetapi saling berkait. Berdasarkan penilaian Bank Dunia, perkembangan ini menunjukkan tekanan harga masih tertumpu kepada komoditi utama yang mempunyai kesan limpahan kepada kos pengeluaran dan kos sara hidup.

“Oleh itu, tindak balas dasar perlu mengambil kira kesan langsung kepada rakyat serta kesan rantaian kepada perniagaan dan bekalan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan memfokuskan untuk menjamin bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada dan mengekang tekanan harga dengan usaha sedang dibuat untuk menyelaras kawalan eksport bahan api tertentu, jaminan bekalan barangan keperluan, pengurusan kuota pembelian, penjimatan tenaga serta kerjasama rapat dengan industri.

Katanya, sebarang penyesuaian dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara dengan keutamaan untuk melindungi rakyat, memastikan kestabilan bekalan dan mengurus kedudukan fiskal negara secara bertanggungjawab.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus mengemas kini status bekalan tenaga dan bahan api dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan domestik kekal diberi keutamaan, di samping meningkatkan keyakinan pihak industri terhadap kelangsungan operasi dan kesinambungan aktiviti ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan