Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KUDAT, 12 Mei (Bernama) -- Pulau Banggi kini bukan lagi sekadar pulau terpencil di utara Sabah, sebaliknya sedang ditransformasikan menjadi ‘permata’ ekonomi baharu melalui pembangunan prasarana, pelancongan, pendidikan dan ekonomi biru.
Langkah itu diperkukuh menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mei lepas mengenai peruntukan khas lebih RM31 juta bagi memacu pembangunan di pulau terbesar Malaysia itu agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.
Peruntukan menerusi Kerajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu merangkumi pembangunan jalan raya, jambatan, kemudahan jeti serta sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin berkata suntikan peruntukan dan perhatian kerajaan itu amat bertepatan memandangkan pulau itu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan utama setanding dengan daerah Semporna.
“Di Pulau Banggi ada tarikan yang tiada di tempat lain seperti pasir hitam di Kampung Pasir Hitam yang berkilat apabila disuluh pada waktu malam, selain pasir halus dan gua batu kapur di Balambangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohammad berkata kedudukan geografi pulau berkenaan yang dikelilingi kira-kira 44 pulau kecil lain memberikan kelebihan luar biasa untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, setanding dengan Semporna.
Beliau berkata antara gugusan pulau yang menawarkan keunikan tersendiri termasuk Pulau Balambangan, Pulau Tanjung Manawali, Pulau Tigabu, Pulau Mandi Darah dan Pulau Sibogo yang kaya dengan pasir silika, air laut jernih serta terumbu karang yang masih asli.
Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari tanah besar Kudat atau 275 km dari Kota Kinabalu, Pulau Banggi yang berkeluasan 621 kilometer persegi itu hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju.
Pulau itu dihuni kira-kira 30,000 penduduk terdiri daripada pelbagai suku kaum, antaranya Ubian, Dusun Bonggi, Kagayan, Bajau Samah dan Molbog dengan sumber ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit serta getah.
Mohammad berkata kelestarian alam semula jadi yang terpelihara itu perlu disokong dengan pembangunan infrastruktur lebih kukuh, terutamanya bekalan air, jalan raya dan elektrik bagi membolehkan ekonomi rakyat berkembang secara menyeluruh.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM62 juta bagi pembinaan loji air kedua di pulau berkenaan yang kini mencapai kemajuan pembinaan melebihi 50 peratus mengikut jadual.
Selain loji air, Mohammad berkata Pulau Banggi turut dalam perancangan untuk menerima kemudahan dewan masyarakat dan kompleks sukan, di samping cadangan projek jalan raya pesisir secara berfasa yang mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk.
Seiring dengan usaha memperkukuh infrastruktur, sektor pertanian turut dikembangkan menerusi tanaman mangga harum manis serta nanas MD2 melalui program rintis Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), selain tanaman kelapa dan penternakan hasil laut.
“Pulau Banggi mempunyai potensi besar dalam ekonomi biru merangkumi hasil laut serta pembangunan tenaga boleh baharu seperti turbin angin dan solar memandangkan pulau itu dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk tenaga angin selain Tanjung Simpang Mengayau di Kudat.
“Komitmen padu kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan pembangunan meletakkan pulau ini di landasan yang tepat untuk muncul sebagai permata baharu di Sabah,” katanya.
Pembangunan menyeluruh di pulau berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, malah memberi limpahan ekonomi kepada daerah berhampiran seperti Kudat, Bengkoka dan Pitas, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial