JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan 60,000 pelajar memperoleh manfaat daripada program khas MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026, membabitkan peruntukan kira-kira RM18.5 juta.
Menterinya Anthony Loke berkata program pelesenan pemandu melibatkan pelajar sekolah itu merupakan inisiatif stategik JPJ dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh budaya keselamatan jalan raya dan meningkatkan pematuhan undang-undang.
“Program ini dilaksanakan susulan keprihatinan kerajaan terhadap isu penunggang motosikal dalam kalangan pelajar yang masih tidak memiliki lesen memandu sah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses pelesenan yang sah di samping meningkatkan tahap kompetensi, kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap melancarkan program MyB2S peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata di Johor sahaja sebanyak 8,200 pelajar, termasuk 1,500 pelajar dari Johor Jaya telah dikenal pasti untuk mendapat manfaat MyB2S dengan peruntukan RM2.46 juta.
Beliau turut menasihati pelajar yang terpilih agar hadir dalam setiap sesi program pembelajaran, daripada bahagian satu hingga tamat bahagian tiga, sebelum menduduki ujian bagi memastikan proses pelesenan dapat dilengkapkan.
“Kerajaan akan tanggung kos perbelanjaan yang tinggi untuk setiap murid yang terlibat dan jika hendak dibuat sendiri di luar program ini, maka kos dan tempoh masa untuk mendapatkan lesen juga akan lebih tinggi nanti selain perlu ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata program MyB2S turut melengkapi pelaksanaan Program MyLesen B2 sedia ada yang diperkenalkan sejak 2023, dengan 30,000 peserta dijangka menerima manfaat menerusi peruntukan keseluruhan RM10.5 juta tahun ini.
Loke berkata program berkenaan penting memandangkan statistik semasa menunjukkan lebih 65 peratus atau 4,500 kematian akibat nahas jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, majoritinya daripada golongan berusia bawah 30 tahun.
“Kes nahas pula kebanyakan berlaku pada waktu perjalanan puncak pagi dan petang, sama ada dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja atau sekolah,” katanya.
Terdahulu beliau turut melancarkan Buku Modul Kadet JPJ serta Buku Pengurusan Kadet JPJ yang dibangunkan oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya (BKJR) JPJ.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial