EKONOMI

Unit MBSB Luluskan Kemudahan Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek Pertama

11/05/2026 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Unit MBSB Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) meluluskan kemudahan pembiayaan pertamanya di bawah Program Rintis Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek (IP) Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO)-MIDF.

Ia sekali gus menetapkan IP sebagai bentuk cagaran dan kepentingan sekuriti yang diiktiraf.

Dalam satu kenyataan hari ini, MBSB memaklumkan penerima sulung tersebut merupakan sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berjaya memperoleh kemudahan itu dengan memanfaatkan aset IP sebagai komponen teras dalam penilaian kredit serta pakej sekuriti.

“Transaksi berkenaan menggunakan metodologi khusus untuk pengenalpastian, penilaian dan taksiran risiko IP yang dibangunkan di bawah rangka kerja rintis itu,” jelasnya.

MBSB menyatakan bahawa program rintis tersebut yang dimulakan susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MIDF dan WIPO pada 24 Sept, 2025 menyasarkan untuk membangunkan rangka kerja yang teguh bagi mengintegrasikan aset tidak ketara ke dalam penilaian kredit.

Bank itu memaklumkan inisiatif itu secara khusus menyasarkan PKS berasaskan inovasi dan berasaskan aset minimum yang sering berdepan kesukaran dengan keperluan cagaran tradisional.

Menurut MBSB program tersebut diperkukuh lagi dengan dana khas sebanyak RM10 juta daripada SME Corporation Malaysia bagi menyokong pembiayaan berasaskan IP manakala Adastra Intellectual Property Sdn Bhd dan Inngot Ltd (UK) menjalankan penilaian dan analisis risiko komersial serta pemindahan pengetahuan selain kepakaran.

Mengulas mengenai pencapaian bersejarah itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa berkata ini menandakan titik perubahan dalam landskap kewangan yang membuktikan IP merupakan satu bentuk cagaran yang berdaya maju dan berkuasa.

“Dengan menyerlahkan nilai aset tidak ketara, MIDF memperkasa PKS berasaskan inovasi untuk menterjemah daya kreatif dan kepintaran mereka kepada pertumbuhan yang boleh diperkembang secara mampan.

“Kami berbangga kerana dapat menerajui usaha dalam membina ekosistem yang lebih inklusif bagi inovator berasaskan aset minimum di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan