DUNIA

Martabatkan Peranan Golongan Muda Dalam Inovasi Sains - Pemenang Hadiah Nobel

11/05/2026 02:25 PM

SHANGHAI, 11 Mei (Bernama-CMG) -- Saintis muda perlu diberi ruang berdikari, tanggungjawab serta sokongan moral sekiranya mereka melakukan kesilapan dalam bidang penyelidikan, kata pemenang Hadiah Nobel Kimia Profesor Michael Levitt.

Levitt yang kini bertugas di Universiti Fudan berkata demikian dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai inisiatif "AI+" yang dilaksanakan oleh China, Levitt menyifatkan langkah sebagai tepat pada masanya memandangkan negara itu mempunyai ramai golongan muda berpendidikan tinggi yang berperanan sebagai penggerak inovasi.

"Seorang saintis sebelum melakar pencapaian yang cemerlang, sudah biasa menghadapi halangan yang bermacam-macam kerana bidang kajiannya penuh dengan cabaran. Ia ibarat bayi yang baru belajar berjalan dan perlu diberi peluang berulang kali. Jika tidak diberi peluang untuk mencuba semula setelah jatuh sekali pun, bayi itu pasti tidak dapat menguasai kemahiran untuk berjalan dengan kaki sendiri.

“Memberi ruang kepada saintis untuk berdikari dalam bidang penyelidikan amat penting dan perkara itu merupakan cabaran di peringkat global,” katanya.

Menurut Levitt, purata umur saintis aktif di Amerika Syarikat (AS) pada 1980-an adalah antara 15 hingga 20 tahun lebih muda berbanding sekarang.

"Kita perlu berwaspada terhadap trend golongan saintis aktif yang semakin berusia,” katanya.

Menyentuh Rancangan Lima Tahun Ke-15 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China (2026-2030) yang menekankan usaha melahirkan bakat inovasi yang cemerlang, Levitt sambil berkongsi pengalamannya apabila berjaya menyiapkan penyelidikan yang kemudian menjadi asas kepada kemenangan Hadiah Nobel ketika beliau berusia 27 tahun.

Beliau menegaskan bahawa hampir semua pencapaian penting oleh seseorang saintis lazimnya diselesaikan sebelum mereka mencecah usia 40 tahun.

Menurut beliau, inovasi tidak dapat dipisahkan daripada penglibatan golongan muda.

“Generasi senior perlu menyediakan platform bagi membantu generasi muda berinovasi dalam suasana yang bebas dan bersifat eksploratif,” katanya.

Sebagai ahli Akademi Sains AS yang telah mengajar di China selama lapan tahun, Levitt turut memberikan penilaian positif terhadap perkembangan bidang antara disiplin di China serta memuji keberanian rakyat China untuk mencuba perkara baharu.

"Dalam membangunkan industri kenderaan elektrik, mereka tidak hanya memilih satu syarikat, tetapi menyokong seratus syarikat pada satu masa. Ada yang mungkin gagal namun kemungkinan lebih besar ialah akan muncul syarikat yang berjaya,” katanya.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan