DUNIA

Bekas PM Thailand Thaksin Dibebaskan Secara Parol

11/05/2026 01:47 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock and Wilawan Watcharasakwet

BANGKOK, 11 Mei (Bernama) -- Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan secara parol dari penjara pada Isnin selepas menjalani lapan bulan daripada tempoh hukuman setahun di Penjara Pusat Klong Prem di sini.

Thaksin yang memakai baju putih dan seluar biru dilihat berjalan keluar dari pintu pagar penjara di daerah Chatuchak, Bangkok kira-kira 7.45 pagi sambil mengangkat tangan bagi menyapa anggota keluarga dan penyokong baju merah.

Beliau turut dilihat memberi penghormatan kepada bendera kebangsaan Thailand ketika lagu kebangsaan dimainkan sebelum memeluk anak perempuannya, bekas perdana menteri Paetongtarn Shinawatra, dan beredar menaiki kenderaan keluarganya kira-kira 8 pagi.

Bilionair berusia 76 tahun itu mula menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan berkaitan rasuah sejak September tahun lalu dan dikehendaki memakai peranti pemantauan elektronik (EM) sepanjang tempoh berkenaan. Beliau tidak dibenarkan meninggalkan kediamannya tanpa kebenaran sehingga 9 Sept.

Selepas meninggalkan penjara, Thaksin dijangka melapor diri di Bangkok Probation Office 1 di daerah Bangkok Noi bagi melengkapkan prosedur berkaitan peranti EM dan syarat pelaporan parol.

Terdahulu, Paetongtarn turut berkongsi gambar pembebasan bapanya dari penjara menerusi akaun media sosial (Instagram) miliknya dengan mesej “welcome back daddy”.

Pada April, Jabatan Pemulihan Thailand mengumumkan pembebasan secara parol Thaksin dengan mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatannya selain beliau telah menjalani hukuman selama lapan bulan sebagai asas pembebasan awal.

Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung memutuskan pada tahun lalu bahawa beliau tidak sepatutnya menjalani hukuman di sebuah bilik khas hospital pada 2023  dan bukannya di sel penjara.

Beliau dipilih sebagai perdana menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005 sebelum hidup dalam buangan selepas penggal keduanya dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.

Selepas pulang ke Thailand pada Ogos 2023, beliau dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun kemudian menerima pengampunan diraja yang mengurangkan hukumannya kepada satu tahun.

Daripada menjalani hukuman di penjara, beliau dipindahkan ke bilik persendirian di hospital atas faktor kesihatan. Hukuman beliau dikurangkan kepada setahun menerusi pengampunan diraja dan beliau dibebaskan di bawah skim pembebasan awal untuk banduan warga emas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan