KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kesihatan Asia (HSA) 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi platform penting yang menghimpunkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil dalam membentuk masa depan kesihatan, kesejahteraan dan inovasi.
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata organisasi itu memilih untuk bekerjasama dengan HSA 2026 kerana ia menyediakan platform unik bagi memastikan perspektif wanita diintegrasikan secara bermakna dalam dasar dan amalan.
“Peranan kami adalah untuk merapatkan advokasi sosial dengan agenda teknikal, alam sekitar dan ekonomi, sambil mengetengahkan bagaimana keterangkuman gender memperkukuh daya tahan dan menjamin kemampanan.
“Melalui penglibatan dalam kerjasama rentas sektor, NCWO menyasarkan untuk memperkukuh suara wanita dalam proses membuat keputusan dan membentuk penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Malaysia dan ASEAN,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Menurut Sharifah Hapsah, kekuatan NCWO terletak pada keupayaannya menghimpunkan pelbagai rakan strategik bagi menangani cabaran sistemik menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan, industri, akademia, masyarakat sivil dan media untuk mempengaruhi dasar, menggalakkan amalan tempat kerja yang inklusif serta memperkukuh suara akar umbi.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, beliau berkata NCWO akan menganjurkan sesi khas Industry Spotlight melalui jemputan sahaja bertajuk The Malaysia Care Eco-System-Assuring the Quality of Care Givers pada 21 Mei dari 9 pagi hingga 5 petang di Dewan 6, KLCC.
Sesi itu dianjurkan bersama menerusi kerjasama antara sektor melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Qube Integrated Malaysia, dengan konsultasi pihak berkepentingan melibatkan wakil kerajaan, industri, akademia, masyarakat umum dan organisasi penjagaan.
“Acara itu bertujuan menangani keperluan penting untuk memastikan perkhidmatan penjagaan berkualiti dengan mentakrifkan peranan penjaga, membangunkan standard pendidikan dan latihan, mereka bentuk dimensi kurikulum berasaskan kompetensi serta merangka laluan kerjaya untuk penjaga.
“Ia juga akan berkongsi proses mikrokelayakan bagi memperluas peluang dan fleksibiliti pembelajaran, di samping mengetengahkan Akademia Dalam Industri sebagai pendekatan latihan berasaskan industri yang inovatif,” katanya.
Sharifah Hapsah berkata hasil yang dijangka adalah pembangunan rangka kerja kelayakan bagi pendidikan penjagaan, dengan standard dipertingkat berdasarkan hasil pembelajaran dan kredit yang boleh menjadi panduan kepada pembangunan kursus, proses akreditasi dan pensijilan.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Nik Sazali Nik Hussin berkata kerjasama organisasi itu dengan HSA 2026 mencerminkan komitmennya untuk memperluas peranan melangkaui pemerkasaan perusahaan kepada pembentukan ekosistem lebih menyeluruh yang menghimpunkan kerajaan, industri dan komuniti untuk bersama-sama menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi.
“Ketika kami meraikan ulang tahun ke-50, misi ini berteraskan lima dekad kecemerlangan teknikal dan pembangunan negara. Makmal kami menyediakan perkhidmatan pengujian dan pensijilan merentasi rantaian nilai perubatan dan penjagaan kesihatan, daripada pencirian bahan dan ujian prestasi kepada pensijilan sistem pengurusan kualiti untuk pengeluar,” katanya.
Nik Sazali berkata menerusi program Smart Tech-Up, SIRIM bekerjasama rapat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka, memperluas operasi dan membuka peluang ke pasaran antarabangsa.
“Kami melaksanakan perkara ini dengan keyakinan jelas bahawa peningkatan daya saing sesebuah syarikat tempatan akhirnya akan meningkatkan daya saing sektor secara keseluruhan.
“Keyakinan sama terhadap kemajuan kolektif inilah yang membawa kami ke HSA 2026,” katanya, sambil menambah SIRIM berperanan sebagai pemangkin dalam “meningkatkan penanda aras” inovasi Malaysia serta memastikan pertumbuhan industri berasaskan asas kepercayaan global.
Nik Sazali berkata komitmen terhadap inovasi kolaboratif dan dipacu standard itu dizahirkan menerusi Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) SIRIM yang ditubuhkan bagi memperkukuh peralihan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kesiapsiagaan pasaran.
Beliau berkata inisiatif itu juga dibangunkan berasaskan makmal bertauliah SIRIM yang menyokong keperluan teras peranti perubatan termasuk biokeserasian serta pengujian bahan boleh diekstrak dan bahan larut resap.
“Keupayaan ini membolehkan pengeluar peranti perubatan Malaysia, khususnya PKS mendapat akses kepada pengujian, pandangan kawal selia dan pensijilan sistem pengurusan kualiti dalam ekosistem yang lebih bersepadu,” tambahnya.
Nik Sazali berkata platform penglibatan seperti HSA 2026 turut memperluas ekosistem ini dengan menyediakan peluang untuk berhubung dengan inovator dan mengambil bahagian dalam dialog dasar yang membantu membentuk masa depan inovasi peranti perubatan di Malaysia.
Beliau berkata sumbangan SIRIM terhadap inovasi penjagaan kesihatan merangkumi inisiatif seperti pembangunan prostetik dan ortotik cetakan 3D, kranioplasti, penjajar lutsinar cetakan langsung 4D, anatomi digital dengan realiti terimbuh serta biomodel untuk pendidikan dan latihan pembedahan yang dibangunkan bersama syarikat tempatan.
“Pada HSA 2026, kami mengetengahkan usaha ini secara terbuka dengan mempamerkan lebih 50 tahun penyelidikan, pembangunan dan kecemerlangan teknikal yang menjadi asas kepada sebahagian daripada kejayaan paling kritikal dalam penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata usaha itu diperkukuh lagi di bawah SMART2030, iaitu inisiatif strategik pembuatan pintar yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan menerusi kemudahan Open Nexus for Innovation Technologies bagi mempercepat penyelidikan kolaboratif, penyelesaian kesihatan digital dan inovasi cemerlang yang mentransformasikan penjagaan pesakit sambil memperkukuh ekosistem kesihatan mampan menjelang 2030.
“Ketika SIRIM meraikan ulang tahun ke-50, pencapaian ini mencerminkan legasi kepercayaan yang menjadi tunjang kepada setiap kejayaan yang kami sokong.
“Menerusi usaha ini, kami terus memperkukuh daya saing industri Malaysia sambil memastikan inovasi penjagaan kesihatan yang lahir daripada HSA 2026 diterjemahkan kepada impak nyata dan berkekalan kepada komuniti,” katanya.
Nik Sazali berkata SIRIM juga berharap dapat berinteraksi dengan pemain industri, inovator dan penggubal dasar di HSA 2026 bagi membantu menggerakkan idea berpotensi menjadi penyelesaian sedia pasaran yang mampu berkembang melangkaui Malaysia.
HSA 2026 yang dianjurkan oleh Qube bersama Green Wellness Malaysia selaku penganjur bersama menghimpunkan SEACare, platform penjagaan kesihatan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) utama Malaysia dan Ekspo Kesihatan Antarabangsa (IWE), acara kesejahteraan terkemuka negara.
Pendaftaran adalah percuma manakala tiket persidangan ditawarkan untuk pembelian, dengan maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati di https://healthsummitasia.com serta butiran program persidangan di https://healthsummitasia.com/conference/programme.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial