AM

Agrobank Tawar Diskaun 50 Peratus Kadar Keuntungan Pinjaman Modal Pesawah

09/05/2026 08:36 PM

ALOR SETAR, 9 Mei (Bernama) -- Agrobank bersetuju menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi kemudahan pakej pinjaman modal khusus kepada pesawah bagi mengusahakan tanaman padi pada musim akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan pesawah selain meningkatkan produktiviti serta daya saing sektor pertanian negara.

“Kerajaan amat memahami kesulitan modal yang sedang dihadapi oleh pesawah pada masa ini. Agrobank menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah dan bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini,” katanya ketika berucap pada majlis Peluncuran Road To MAHA 2026 Peringkat Zon Utara di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata diskaun 50 peratus itu menjadikan kadar keuntungan pinjaman berkurangan kepada dua peratus berbanding empat peratus sebelum ini.

Katanya pakej pinjaman modal berkenaan ditawarkan sehingga RM50,000, namun kebanyakan pesawah lazimnya mengambil antara RM7,000 hingga RM10,000 bagi mengusahakan kira-kira tiga hektar sawah padi.

“Bagi mengelakkan pesawah kekurangan modal untuk memulakan penanaman padi, mereka boleh mendapatkan pinjaman ini mengikut kelayakan dan membuat bayaran balik selepas musim menuai,” katanya.

MAHA 2026 akan berlangsung diTaman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dari 28 Ogos hingga 6 Sept depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan