JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Negeri Sembilan Perkukuh Hubungan Komuniti Orang Asli Melalui Program Keselamatan

09/05/2026 04:05 PM

NILAI, 9 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan hari ini memperkukuh hubungan komuniti menerusi program bersama-sama masyarakat Orang Asli bagi memberi kefahaman berkaitan isu keselamatan, pencegahan jenayah dan ancaman sosial yang semakin mencabar.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata program itu juga menjadi platform meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan kawasan penempatan terus terpelihara.

Selain perkongsian langkah pencegahan jenayah, beliau berkata masyarakat Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang turut diberikan penerangan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan tentang pengurusan bencana alam yang memerlukan perhatian dan kerjasama komuniti.

“Kami mahu memastikan penyampaian maklumat dan kolaborasi idea dapat dilaksanakan sepenuhnya sehingga ke peringkat akar umbi masyarakat. Pasukan juga mempertingkatkan penguatkuasaan serta rondaan di kampung Orang Asli di negeri ini.

“Saya difahamkan kes jenayah melibatkan Orang Asli di negeri ini sangat rendah, iaitu hanya satu kes direkodkan bagi Januari hingga April lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Melaka dan Negeri Sembilan Shahrani Idderis serta Penolong Pengarah Kanan Keselamatan MKN Negeri Sembilan Mohd Fairul Abdul Wahab.

Mohd Nasharudin berkata pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen PDRM mendekati masyarakat pelbagai lapisan tanpa mengira lokasi dan latar belakang, selaras dengan usaha memperkukuh kepercayaan awam terhadap pasukan keselamatan negara.

Sementara itu, Shahrani berkata jumlah Orang Asli di Negeri Sembilan ialah 14,500 orang di 69 kampung termasuk komuniti di Jeram Kedah yang mencatatkan bilangan penduduk terbanyak di daerah Seremban.

Beliau berkata kehadiran anggota beruniform di kampung Orang Asli dapat merapatkan hubungan antara agensi dan masyarakat yang sebelum ini mungkin berasa takut atau terasing daripada pihak berkuasa.

“Saya berharap penduduk di sini memperoleh maklumat yang bermanfaat serta pemahaman lebih jelas mengenai kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi isu keselamatan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Tijak Acup berkata program itu memanfaatkan 230 keluarga Orang Asli melibatkan 783 penduduk yang turut menerima sumbangan bakul makanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan